Skip to main content

Malaysia

Lapangan Terbang Labuan ditutup sementara, penemuan bom lama turut dilaporkan media

#PSA A NOTAM has been issued by the RMAF for the temporary closure of the runway at Labuan Airport until further notice. The RMAF and airport authorities are currently conducting a joint runway inspection. The runway will only be reopened after the inspection is completed and the necessary clearance has been issued._FB Malaysia Airports
Malaysia Airports memaklumkan penerbangan yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Labuan terjejas, dengan beberapa penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain, mengalami kelewatan atau tertakluk kepada perubahan operasi.

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengeluarkan satu Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) berhubung penutupan sementara landasan di Lapangan Terbang Labuan sehingga dimaklumkan kelak.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan memaklumkan, TUDM bersama pihak berkuasa lapangan terbang kini sedang menjalankan pemeriksaan bersama ke atas landasan berkenaan sebelum ia dibuka semula selepas pemeriksaan selesai dan kelulusan yang diperlukan diberikan.

“Sehubungan itu, penerbangan yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Labuan terjejas, dengan beberapa penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain, mengalami kelewatan atau tertakluk kepada perubahan operasi,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya hari ini.

Pada masa sama, Malaysia Airports menasihatkan penumpang yang akan melakukan perjalanan ke dan dari Labuan supaya menyemak status penerbangan serta pengaturan perjalanan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.

“Maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa sebaik sahaja perkembangan baharu diperoleh,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Malaysia Airports dalam kenyataannya tidak memperincikan punca yang menyebabkan penutupan sementara landasan di Lapangan Terbang Labuan.

Memetik laporan Bernama, bahan letupan yang dipercayai bom peninggalan era Perang Dunia Kedua itu ditemukan di tapak projek pembaikan cerun di Jalan Persisiran Pantai Kerupang, Labuan.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Labuan turut mendapati beberapa penerbangan ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Miri yang dijadualkan berlepas pada sebelah petang dan malam terjejas susulan penutupan sementara landasan berkenaan.


 

Must Watch Video

Advertisement