Skip to main content

Malaysia

Kota Jail: Transformasi tirai besi jadi hab kreatif, tarikan pelancongan

Sumber: BERNAMA
Zul berkata Kota Jail bukanlah muzium konvensional yang bersifat sehala, sebaliknya berfungsi sebagai 'ruang ketiga' yang dinamik untuk masyarakat. --fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Tembok konkrit dan kawat berduri yang dahulunya menjadi simbol sekatan fizikal, kini diberikan wajah baharu apabila Penjara Ayer Molek dihidupkan semula sebagai hab kreatif ikonik serta pelancongan tempatan yang dikenali sebagai  Kota Jail

Monumen bersejarah berusia 143 tahun yang dibina pada 1883 itu diberi nafas baharu sebagai pusat seni, budaya dan ruang komuniti, sekali gus menyelamatkan struktur ikonik tersebut daripada terus usang ditelan zaman.

Pengarah Operasi Kota Jail, Zul Abbas berkata operasi sebagai penjara premis berkenaan ditamatkan pada 2005 sebelum ditinggalkan sepenuhnya sekitar 2017. Namun sejak Disember 2024, kawasan itu kembali sibuk dengan aktiviti manusia.

"Kerja-kerja pemulihan, pembersihan, kemasukan semula utiliti seperti bekalan elektrik dilakukan bagi memastikan struktur bangunan ini selamat sebelum pintunya dibuka buat kali pertama menerusi fasa prapelancaran pada 14 Mac 2025," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata sejak dibuka kepada umum, Kota Jail mencetuskan fenomena pelancongan baharu apabila merekodkan kehadiran luar biasa melebihi dua juta pelawat, merangkumi pengunjung domestik dan antarabangsa.

“Keistimewaan tempat ini, ia tidak melibatkan sebarang pembinaan semula berskala besar yang boleh menjejaskan nilai sejarahnya. Sebaliknya, karakter dinding yang mengelupas, jeruji besi berkarat, serta kesan coretan emosi banduan silam sengaja dikekalkan.

"Konsep yang kami pegang ialah ‘raw’ (asli) dan ‘beautifully broken’ (rosak yang estetik). Mana-mana bahagian yang roboh, rosak atau reput akibat anai-anai, kami hanya membaik pulih dan memastikan ia selamat untuk pengunjung tanpa mengubah fasad asalnya," katanya.

Image
Sumber: BERNAMA

Katanya strategi itu berjaya menterjemahkan sisa runtuhan masa lalu yang kaya dengan sejarah menjadi ruang masa depan yang cukup artistik.

Zul berkata sel-sel tahanan kini diisi dengan pelbagai aktiviti ekonomi kreatif melibatkan penyewa tempatan, ruang pameran kontemporari, galeri sejarah serta sebuah kafe estetik yang menjadi tumpuan anak muda.

“Bagi memastikan kelangsungan hab kreatif yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan dana sendiri pada peringkat awal ini, Kota Jail bercadang memperkenalkan beberapa produk pelancongan baharu seperti penginapan berkonsepkan backpackers, program bina semangat, bazar ‘pop-up’, pertunjukan fesyen jalanan serta forum sejarah secara berkala,” katanya.

Image
Sumber: BERNAMA

 

Zul berkata Kota Jail bukanlah muzium konvensional yang bersifat sehala, sebaliknya berfungsi sebagai 'ruang ketiga' yang dinamik untuk masyarakat.

"Kita mahu generasi muda datang ke sini bukan untuk mencari perkara paranormal, sebaliknya untuk belajar mengenali warisan, asal-usul, seni bina abad lalu, serta menghayati sejarah yang berlaku di sekitarnya," katanya.

Terletak di Jalan Ayer Molek, Kota Jail dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam. 

Kemasukan ke kawasan umum adalah percuma, manakala tiket ke galeri dikenakan pada kadar RM5 untuk dewasa, RM3 bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU serta RM15 untuk warga asing.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement