Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Manusiawi melawan kesepian bahasa di era AI

Dr Elsie Chin -- kredit awani
Menurut Elsie, walaupun AI boleh mengajar, menghasilkan visual dan memproses data dalam beberapa saat, AI tidak mempunyai empati, kesedaran moral, tanggungjawab sosial atau nilai kemanusiaan seperti yang dimiliki manusia.

Bayangkan situasi ini. Latar masa ialah di era ketika mana hampir kesemuanya rutin harian diambil dan digantikan dengan mesin. 

Di tempat kerja dalam industri media misalnya, tugasan membaca berita, menganalisis data, menterjemah kenyataan media daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan sebaliknya, segala-galanya bukan manusia yang menyelesaikan, tetapi mesin yang kecerdasannya adalah buatan, mengambil alih.

Pertimbangkan pula keadaan ini. 

Kalau dahulu, ada bilik darjah, pelajar di dalam kelas menunggu guru mengajar bahasa, penyusunan tutur kata, struktur tatabahasa dan penambahan perbendaharaan kata. 

Dan, yang mengajar itu adalah manusia. Dan, tampilnya manusia itu adalah secara fizikal.

Kini, hampir semua tugasan itu boleh diambil mesin. Manusia diganti robot. Bahasa yang sukar sekali pun, boleh dipelajari dalam tempoh yang singkat, hanya menggunakan kecanggihan idea dicipta manusia, kecerdasan  buatan (AI).

"Di sebalik semua perkembangan teknologi ini, dan bagaimana canggih sekali pun teknologi AI, jika namanya adalah kecerdasan buatan, seperkara penting perlu difahami ialah AI mungkin mampu menghasilkan pengajaran  dengan sangat pantas dan meyakinkan, namun AI tetap bukan manusia, " kata Dr Elsie Chin, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cambridge English For Life (CEFL) semasa ditemui di pejabatnya di Tropicana, Petaling Jaya baru-baru ini.

Katanya, walaupun AI boleh mengajar, menghasilkan visual dan memproses data dalam beberapa saat, AI tidak mempunyai empati, kesedaran moral, tanggungjawab sosial atau nilai kemanusiaan seperti yang dimiliki manusia.

"Saya buat perbandingan begini. Dalam ekosistem pengajaran, guru akan bertanya jika ada pelajarnya tidak sihat, memakai minyak angin, kelihatan penat dan sebagainya. 

"Perasaan manusiawi atau tanggungjawab moral pula barangkali mendorong guru itu mencadangkan untuk pelajar ambil ubat, berehat sehingga sihat sebelum meneruskan untuk belajar semula."    

"Berbeza dengan manusia, AI tidak mempunyai rasa belas, hikmah dan pertimbangan etika dalam menentukan sama ada seseorang perlukan rasa manusiawi itu atau tidak. Inilah kesepian yang terkandung dalam AI, yang tidak boleh dilawannya dengan manusia," kata Dr. Elsie.

Sebab itu manusia tidak boleh menyerahkan sepenuhnya masa depan bahasa kepada algoritma dan mesin, tetapi mencipta peluang menggunakannya dengan bijaksana.

Di sebalik itu, tidak dapat tidak, kita wajar bersetuju bahawa AI adalah “mesin pintar” yang memudahkan, tanpa terkecuali dalam konteks pengajaran, pusat pembelajaran bahasa dan sifatnya bahasa itu sendiri.

Justeru, cabaran utama yang menjadi topik perbincangan selari dengan perkembangan itu ialah risiko kehilangan pekerjaan akibat automasi AI yang semakin meningkat, guru tiada lagi peluang untuk mengajar, pusat bahasa pula sukar menambah jumlah pelajar dan sebagainya.

"Di CEFL, yang bertapak di Malaysia lebih dua dekad, kami pastikan keupayaan disesuaikan dengan perubahan pasaran tanpa mengorbankan identiti pendidikan teras iaitu bahasa untuk sepanjang hayat. 

"Walaupun ada cabaran digital dan AI, kualiti pengajaran dan kepercayaan pelajar serta ibu bapa tetap menjadi keutamaan. Di dalam kelas, apa yang ditekankan, 60 peratus interaksi manusia, bakinya sistem digital. Saya kira ini kekuatannya."

"Sejak penubuhannya pada 2001, CEFL tidak meniru sepenuhnya model pusat bahasa berorientasikan ekspatriat,tetapi membuat keputusan membangunkan pendekatan yang lebih sesuai dengan keperluan pelajar tempatan agar mampu bersaing di peringkat global. Untuk sepanjang hayat, untuk kehidupan. Itu adalah elemen kemanusian," katanya.

Untuk memperkasakan guru bahasa pada masa depan, CEFL melihat aset ini sebagai jurulatih komunikasi, dengan penekanan kepada pemikiran kritikal, kecerdasan emosi dan pemilihan alat pembelajaran yang sesuai untuk setiap pelajar, selagi keperluan itu ada untuk manusia berhubung dan berkomunikasi.

Falsafahnya pula mudah. Cabaran di era AI ialah bukan berlumba mencipta teknologi yang lebih pintar, tetapi memastikan manusia terus memimpin dengan kebijaksanaan.

"Masa depan teknologi terletak pada pilihan manusia hari ini, sama ada menggunakan kemajuan sebagai alat untuk membina kesejahteraan atau membiarkannya berkembang tanpa nilai manusiawi. Itulah apa yang dilakukan di CEFL, " tambah Dr Elsie.

Bergerak seiring komitmen untuk memperkasakan guru, pendidik dalam menangani cabaran di era AI, satu forum anjuran CEFL akan berlangsung pada Ogos ini bagi membincangkan pelbagai sudut mengenai isu pendidikan, satu cabang untuk pelaburan masa depan.

CEFL 25: Solving Real Classroom Challenges: A Forum for Educators diadakan sebagai platform menghimpunkan guru, bakal guru dan pendidik profesional mempersiapkan diri mereka mendengar pandangan tentang cabaran sebenar di kelas pusat bahasa dan bilik darjah, khususnya dalam era digital dan AI sebagaimana dihadapi sekarang.

"Pandangan pakar dari Kementerian Pendidikan, pengalaman individu profesional dikongsi dan dikupas mendalam di forum berkenaan untuk mencari strategi bijaksana yang boleh disesuaikan bagi tangani persekitaran pendidikan hari ini yang bergantung secara meluas kepada digital dan AI," kata Dr. Elsie.

Pada lapis lain, adalah amat penting untuk bergerak seiring dengan evolusi pendidikan walaupun keupayaan pusat bahasa untuk mengekalkan kualiti pengajaran, sentuhan manusia dan memastikan ia relevan dalam pembelajaran, menjadi menjadi antara cabaran utama di era AI serta pendigitalan pendidikan seperti dihadapi CEFL.

Di peringkat ini, tugas masyarakat pula, bukan perlu memilih antara AI dan manusia, tetapi memastikan AI hadir untuk melayani kemanusiaan, pada masa sama bukan menggantikannya.

Jika itu ada asasnya, sehingga itu, kampus, pusat bahasa yang dipenuhi guru dan pendidik, bukannya mesin, tetap menjadi salah satu tempat paling manusiawi di dunia.

CEFL 25: Solving Real Classroom Challenges: A Forum for Educators diadakan sehari pada 9 Ogos ini di HELP University, Shah Alam bermula 8 pagi sehingga 5 petang.

Image
kredit Cambridge english for life

 


  • Azlinariah Abdullah ialah Editor Kanan Astro AWANI dan penerbit AWANI Pagi.
  • Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement