KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berhasrat menjadikan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam bentuk geran, berbanding pinjaman ketika ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan.
"Kita akan mohon pertimbangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan ahli Jemaah Menteri supaya kalau boleh kita tukar pinjaman PTPK RM100 juta ini menjadi geran.
"Sebab ada peminjam PTPK yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpaksa melepaskan pekerjaan mereka.
"Apabila mereka tidak bekerja, pendapatan turut terjejas dan jika pada masa sama mereka perlu membayar yuran melalui pinjaman, ia sedikit sebanyak membebankan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengajar TVET Kebangsaan dan Pengurus Pusat Bertauliah 2026, di sini, pada Khamis.
Terdahulu dalam ucapannya, Ramanan berkata, persidangan berkenaan bukan sekadar perhimpunan biasa namun ia adalah manifestasi komitmen dasar negara, satu isyarat jelas bahawa TVET kini merupakan tunjang utama dalam strategi pembangunan modal insan Malaysia MADANI.
“TVET adalah pemangkin perubahan dalam memastikan tiada ketidakpadanan kemahiran, memacu negara ke arah Hab Inovasi Serantau seterusnya menarik pelaburan berkualiti tinggi (high-value investments).
“Oleh itu, sasaran kita jelas iaitu mencapai Pendapatan Negara Kasar per kapita sekitar RM77,200 setahun,” katanya.
Pada persidangan itu juga, Ramanan turut melancarkan Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Jabatan Pembangunan Kemahiran Tahun 2026 hingga 2030.
Menurut beliau, pelan itu digerakkan menerusi enam teras strategik yang memfokuskan kepada pengiktirafan global, menaik taraf Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) sebagai institusi bertaraf dunia, promosi inovasi antarabangsa dan kecemerlangan program TVET yang disokong tadbir urus berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Environment, Social, and Governance (ESG) dan Diversity, Equity, and Inclusion (DEI).
“Fokus kritikal pelan ini adalah memastikan pemetaan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dengan piawaian antarabangsa, menjadikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) diiktiraf oleh badan profesional luar negara berstatus Global Excellence,” katanya.
-- BERNAMA