SHAH ALAM: Polis akan memohon lanjutan reman terhadap pelajar perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam rakan sekolahnya di sebuah sekolah menengah di Banting Kuala Langat sebaik tempoh reman berakhir pada Jumaat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata permohonan lanjutan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan terhadap suspek dilengkapkan.
"Insya-Allah sejurus reman pertama berakhir esok, kita akan memohon lanjutan reman kali kedua bagi melengkapkan siasatan terhadap suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan suspek direman selama empat hari selepas perintah dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok bagi membantu siasatan kes dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Ketika ditanya jumlah tikaman terhadap mangsa dalam insiden itu, Shazeli memaklumkan perlu menunggu laporan rasmi pakar perubatan supaya tiada spekulasi berkaitannya.
"Angka sebenarnya tidak dapat saya berikan kerana ini memerlukan laporan daripada pakar perubatan yang lebih mengetahui jumlah tikaman itu," katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital.
Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian