KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan tidak akan diswastakan menerusi Projek Pembangunan Tanah Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih, Hulu Langat, Selangor.
Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan berkata hartanah yang terlibat dalam projek itu masih kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 90.12 hektar (222.68 ekar).
Beliau berkata pembangunan tapak perkuburan itu dijangka siap pada 2029 sebelum diserahkan kepada JAWI untuk diuruskan sepenuhnya.
"Apabila tanah perkuburan ini beroperasi kelak, JAWI bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengendalikan proses pengurusan jenazah termasuk jenazah tidak berwaris, pengebumian dan penyelenggaraan tanah perkuburan seperti mana lapan TPIRS (Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah) sedia ada di Wilayah Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanifuddin berkata projek itu merupakan inisiatif Kerajaan MADANI bagi mengatasi masalah kekurangan tanah pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin terhad.
Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah antara Route Edge Sdn Bhd dengan Kerajaan MADANI.
Melalui kaedah itu, syarikat terbabit akan membangunkan jalan pintas keluar masuk dari Sungai Lalang ke Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) sepanjang 4.34 kilometer, selain menyediakan satu tapak perkuburan awam Wilayah Persekutuan di lot yang ditetapkan.
Beliau berkata pembangunan tapak perkuburan yang konsepkan TPIRS itu, menyediakan sehingga 104,000 lot kubur yang diunjurkan mampu menampung keperluan pengebumian hingga 28 tahun.
Selain itu, katanya syarikat berkenaan turut membina pelbagai kemudahan di tapak tersebut, termasuk pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal dan kemudahan infrastruktur berkaitan.
Hanifuddin berkata penjelasan itu diharap dapat memberi kefahaman kepada masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan terhadap isu penyediaan tapak pengebumian jenazah umat Islam yang baharu, sekali gus memastikan kapasiti tanah perkuburan awam umat Islam mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan selaras dengan ruang tanah perkuburan yang semakin berkurangan.
Selasa lepas, PAS Wilayah Persekutuan dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan projek berkenaan menerusi kaedah kerjasama awam swasta termasuk berhubung hak pengurusan, tempoh konsesi, penetapan kadar caj serta jaminan tanah perkuburan Islam tidak dikomersialkan.
-- BERNAMA