Skip to main content

Dunia

Perancis lihat Syria sebagai laluan alternatif minyak susulan ketegangan di Hormuz, kata Menteri Luar

Syria's Foreign Minister Asaad Hassan Al-Shaibani and France's Foreign Minister Jean-Noel Barrot sign documents next to France's President Emmanuel Macron and Syrian President Ahmed Al-Sharaa, at a ceremony in Damascus, Syria, July 7, 2026. REUTERS/Mahmoud Hassano
Menteri Luar Syria Asaad Hassan Al-Shaibani (duduk, kanan) dan Barrot menandatangani dokumen sambil disaksikan oleh Macron (berdiri, kiri) dan Presiden Syria Ahmed Al-Sharaa, pada satu majlis di Damsyik, Syria, 7 Julai 2026. REUTERS

BERLIN: Perancis melihat Syria sebagai laluan alternatif yang berpotensi bagi penghantaran minyak di tengah-tengah gangguan yang sedang berlaku di Selat Hormuz, kata Menteri Luar Jean-Noel Barrot pada Khamis.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa Barrot dalam satu temu bual bersama TF1 berkata ketegangan yang tercetus baru-baru ini antara Amerika Syarikat dan Iran, serta sekatan di selat berkenaan, telah menekankan keperluan untuk mempelbagaikan koridor tenaga bagi memastikan bekalan yang boleh dipercayai ke pasaran global.

“Antara semua usaha yang telah kami lakukan sejak permulaan krisis ini, terdapat idea untuk menyediakan laluan alternatif supaya kami tidak bergantung kepada sekatan di mana-mana kawasan.

Syria - yang telah menggulingkan Bashar al-Assad setahun setengah yang lepas - kini sedang bersatu semula serta semakin kukuh dan boleh menjadi hab serantau yang baharu,” katanya.

Barrot, yang mengiringi Presiden Emmanuel Macron dalam lawatan ke Damsyik pada Selasa, berkata lawatan itu bertujuan untuk menegaskan sokongan padu Perancis terhadap Syria yang bersatu dan berdaulat.

“Kami berdiri bersama rakyat Syria,” katanya sambil menambah bahawa mereka mahu memperluas kerjasama dengan Damsyik dalam semua bidang serta memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dengan negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement