PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepatkan pelaksanaan projek jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta kesalinghubungan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu perlu disegerakan kerana mampu memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi di utara tanah air dan selatan Thailand.
"Kami turut membincangkan pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok yang kini dalam peringkat cadangan. Kami mahu projek itu disegerakan kerana ia dimulakan sejak beberapa ketika dahulu.
"Projek ini amat positif kepada negeri-negeri di utara seperti Perlis, Kedah hingga Pulau Pinang, manakala jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang akan memberi manfaat kepada selatan Thailand dan Kelantan.
"Kami juga membincangkan cadangan awal untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dengan Sungai Golok, Thailand berjalan mengikut perancangan dan dijangka siap pada 2028.
Projek itu membabitkan pembinaan jambatan sepanjang 117.3 meter dengan kos dianggarkan RM40.54 juta, yang dibiayai secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Thailand.