Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon PH di Bukit Pasir fokus isu perumahan jika menang

[TB]_PH NAJIB LEP_Astro AWANI
Kata Muhd Najib, keperluan memiliki rumah yang selesa menjadi antara isu utama yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan keluarga serta pembentukan masyarakat yang lebih baik. - Foto Astro AWANI

MUAR: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Pasir, Muhd Najib Lep, meletakkan isu perumahan dan pembangunan penempatan sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini. 

Menurut beliau, Bukit Pasir merupakan kawasan yang luas merangkumi kawasan pinggir bandar dari Pekan Pagoh hingga Temiang Jaya dan Parit Buaya, dengan jumlah penduduk sekitar 60,500 orang, manakala seramai 30,410 merupakan pengundi berdaftar.

Katanya, keperluan memiliki rumah yang selesa menjadi antara isu utama yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan keluarga serta pembentukan masyarakat yang lebih baik.

“Saya mahu rakyat Bukit Pasir memiliki rumah yang selesa. Apabila ada keluarga yang mempunyai kediaman yang baik serta infrastruktur yang lengkap, ia akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk anak-anak mendapatkan pendidikan.

“Institusi pengajian tinggi sudah ada, tetapi kita belum mengambil manfaat sepenuhnya daripada kehadiran pusat-pusat pengajian ini. Sebab itu pembangunan di kawasan ini bergerak agak perlahan,” katanya.

Sehubungan itu, Najib turut berpandangan perancangan pembangunan bandar di Bukit Pasir perlu diperkemaskan kerana masih terdapat rumah yang terbiar, tanah kosong yang tidak dibangunkan serta pelbagai kekangan yang menyukarkan penduduk membina kediaman sendiri.

Menurutnya, ramai penduduk berpendapatan sederhana dan rendah berdepan kesukaran untuk memiliki rumah, termasuk berdepan syarat tertentu bagi mendapatkan bantuan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Ramai yang ada tanah tetapi sukar membina rumah. Nak beli rumah pun sukar kerana kemampuan kewangan. Ini antara perkara yang perlu kita cari penyelesaian supaya rakyat dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.

Malah, beliau turut mencadangkan agar potensi pembangunan di atas kira-kira 130,000 hektar tanah milik tentera di kawasan itu dikaji, termasuk bagi menyediakan penempatan untuk veteran tentera.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan mewujudkan satu tabung khas bagi membantu rakyat DUN Bukit Pasir memiliki rumah, selain meneliti pelbagai pendekatan lain berkaitan pembangunan tanah dan penempatan.

Muhd Najib berdepan dengan persaingan tiga penjuru pada pilihan raya kali ini, menentang penyandang kerusi DUN Bukit Pasir Mohamad Fazli Mohamad Salleh daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin mewakili Perikatan Nasional (PN).

Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih layak pada Sabtu ini.

Must Watch Video

Advertisement