ZURICH: Ketua Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina, mempertahankan mutu pengadilan dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia yang menyaksikan Argentina menewaskan Mesir 3-2.
Dalam temu bual yang disiarkan di laman rasmi FIFA pada Khamis, Collina menegaskan kritikan terhadap keputusan pengadil adalah lumrah dalam bola sepak, namun menyifatkan tuduhan yang mempertikaikan integriti pegawai perlawanan sebagai tidak berasas.
“Perbincangan yang membina mengenai keputusan pengadil akan sentiasa menjadi sebahagian daripada bola sepak, tetapi tuduhan tidak berasas tidak mempunyai tempat dalam sukan ini.
“Tiada siapa boleh mempertikaikan integriti pegawai perlawanan Piala Dunia FIFA… Tiada siapa boleh mendakwa pengadilan FIFA boleh dipengaruhi oleh sesiapa, termasuk Presiden FIFA (Gianni Infantino).
"Dakwaan sedemikian boleh mengundang ancaman terhadap pengadil serta ahli keluarga mereka," katanya.
Sebelum ini, kontroversi tercetus selepas Mesir mendakwa beberapa keputusan penting memberi kelebihan kepada Argentina yang bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum meraih kemenangan menerusi jaringan masa kecederaan oleh Enzo Fernández.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, membayangkan kemungkinan wujud tekanan terhadap pengadil bagi memastikan Argentina kekal dalam kejohanan.
Bagaimanapun, Collina menjelaskan sistem Bantuan Pengadil Video (VAR) bertindak tepat apabila membatalkan jaringan Mostafa Zico selepas mengesan kekasaran dilakukan Marwan Attia ke atas pertahanan Argentina, Lisandro Martínez, dalam fasa serangan.
“Kami percaya kekasaran tetap satu kekasaran, walaupun ia tidak kelihatan jelas dan pengadil tidak melihatnya di atas padang, VAR boleh campur tangan,” katanya.
Beliau turut mempertahankan keputusan untuk tidak menghadiahkan penalti kepada Mesir selepas insiden melibatkan Mohamed Salah dan Julián Álvarez, dengan menyatakan pengadil serta VAR menganggap situasi itu sebagai “sentuhan normal dalam permainan.”
“Memijak kaki lawan adalah satu kesalahan, tetapi jika pemain pertahanan terlebih dahulu menyentuh bola sebelum berlaku sentuhan, ia bukan satu kekasaran,” jelasnya.
Walaupun mengakui terdapat keputusan yang bersifat subjektif, Collina berkata FIFA berpuas hati dengan pelaksanaan pelaksanaan VAR sepanjang kejohanan. - Agensi