Skip to main content

Malaysia

Kerja naik taraf BHS KLIA Terminal 1 bermula di kawasan tuntutan bagasi antarabangsa

SEPANG, 26 Feb -- Petugas pengendalian bagasi sentiasa memastikan keselamatan bagasi penumpang pada tahap terbaik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Terdahulu media diberi taklimat mengenai sistem pengendalian bagasi (BHS) di terminal kedua itu.
-- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pelaksanaan secara berperingkat membolehkan KLIA terus beroperasi sepenuhnya, dengan langkah-langkah tertentu dilaksanakan melalui kerjasama bersama syarikat penerbangan dan rakan kongsi pengendalian darat. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memulakan kerja naik taraf sistem pengendalian bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 menerusi penambahbaikan di kawsan tuntutan bagasi bagi penumpang ketibaan antarabangsa.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata kerja pemasangan penghadang keselamatan di Karusel E bermula semalam bagi membolehkan fasa naik taraf di kawasan tuntutan bagasi dilaksanakan, manakala fasa yang sama di Karusel F akan bermula pada 31 Ogos.

Beliau berkata kedua-dua fasa itu dijangka siap menjelang Jan 2027 sebelum program naik taraf itu diteruskan secara berperingkat di karusel tuntutan bagasi yang selebihnya.

"Program menggantikan BHS itu dirancang dengan teliti bagi memastikan KLIA dapat beroperasi sepenuhnya. 

"Setiap fasa yang siap kelak akan memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kapasiti sistem, sekali gus membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang serta rakan kongsi syarikat penerbangan untuk jangka panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izani berkata pelaksanaan secara berperingkat itu turut membolehkan KLIA terus beroperasi sepenuhnya, dengan langkah-langkah tertentu dilaksanakan melalui kerjasama bersama syarikat penerbangan dan rakan kongsi pengendalian darat bagi meminimumkan gangguan sepanjang kerja-kerja naik taraf. 

"Walaupun penumpang mungkin mengalami sedikit kesesakan sementara di dewan tuntutan bagasi, operasi penghantaran bagasi akan diteruskan seperti biasa," katanya.

Sehubungan dengan itu, empat kawasan pengambilan bagasi sementara akan disediakan jika keadaan memerlukan bagi mengurus jumlah bagasi dan mengelakkan kesesakan di karusel.

Papan tanda untuk mengenal pasti penerbangan masing-masing akan disediakan, manakala pasukan operasi bagasi, pengendalian darat dan khidmat pelanggan bersedia membantu penumpang yang memerlukan bantuan.

MAHB turut memberikan jaminan bahawa aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan sepanjang fasa naik taraf, dengan semua kerja pemasangan penghadang keselamatan dan aktiviti pembinaan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan operasi bagi melindungi penumpang, petugas serta operasi harian.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement