CYBERJAYA: Kerajaan akan terus memperkukuh langkah bagi menangani ancaman penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI), termasuk teknologi 'deepfake' (pemalsuan wajah), penyebaran maklumat palsu dan penipuan dalam talian, seiring usaha membangunkan ekosistem AI negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, meskipun kerajaan komited memperluaskan penggunaan AI dalam kalangan rakyat dan industri, aspek keselamatan serta kepercayaan pengguna tidak boleh dipinggirkan.
Menurutnya, kesedaran mengenai risiko penyalahgunaan AI perlu dipertingkatkan bagi memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan secara bertanggungjawab.
“Walaupun kita mahu membina ekosistem AI yang mampu memperkasa rakyat Malaysia, kita juga mengiktiraf ancaman yang wujud hasil perkembangan teknologi ini.
“Sebab itu penting untuk kita meningkatkan kesedaran mengenai risiko-risiko tersebut dan pada masa sama memastikan ekosistem AI yang dibangunkan adalah selamat serta diyakini pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran AI Malaysia di Menara Cyber Axis, Cyberjaya pada Selasa.
Gobind berkata, antara langkah yang telah diambil kerajaan ialah memperkukuh aspek keselamatan siber menerusi Akta Keselamatan Siber, selain memperkemas penguatkuasaan undang-undang berkaitan teknologi digital.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkasa Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan data yang boleh membawa kepada jenayah seperti penipuan dalam talian.
“Apabila melibatkan data peribadi, kita perlu memastikan ia tidak jatuh ke tangan pihak yang salah kerana ia boleh membawa kepada pelbagai masalah termasuk jenayah 'scam' (penipuan) yang kita lihat berlaku hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Gobind berkata Kementerian Digital sedang merangka Strategi Kepercayaan Digital (Digital Trust Strategy) yang dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, AI Malaysia akan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam merangka strategi tersebut, malah memantau pelaksanaannya bagi memastikan pembangunan AI negara kekal selamat, bertanggungjawab dan diyakini semua pihak.