Skip to main content

Malaysia

Keputusan terbit laporan RCI Tabung Haji diputuskan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini - PM

GEMAS, 27 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan, kanan) meluangkan masa beramah mesra bersama pegawai dan anggota tentera semasa hadir pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar (depan, kanan) meluangkan masa beramah mesra bersama pegawai dan anggota tentera semasa hadir pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini. - Gambar/ Bernama

TAMPIN: Keputusan untuk menerbitkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

“Sekarang ada perbahasan sedikit tentang Tabung Haji. Saya tak mahu bicara panjang, mudah-mudahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita akan putuskan. Ada laporan biar orang baca.

“Kalau tak salah, pertahankan...kalau salah dakwa, kalau dihukum masuk penjara, masuk penjaralah. Sistem kita menetapkan siasat itu badan siasat, buat pertuduhan itu Peguam Negara, hukum itu para hakim dan itu bukan urusan Perdana Menteri,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Mengulas lanjut, Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau harus berlaku jujur dan mematuhi proses Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.

Khamis lepas, Anwar berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Anwar berkata beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara, yang dijangka selewat-lewatnya pada Rabu ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement