Skip to main content

Malaysia

Formula 1 kembali ke Sepang, mengimbau 19 tahun kegemilangan Malaysia

SEPANG, 22 O kt -- Perlumbaan Grand Prix Petronas Malaysia 2000 bermula di Litar F1 Sepang di sini hari ini. --fotoBERNAMA (DIGI) HAKCIPTA TERPELIHARA.
Grand Prix Bahrain Gulf Air di SIC akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober di Litar Antarabangsa Sepang. - Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: Kepulangan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC) bukan sekadar menandakan kembalinya sebuah perlumbaan bertaraf dunia, malah mengimbau semula sejarah hampir dua dekad yang pernah meletakkan Malaysia sebagai antara destinasi paling ikonik dalam kalendar perlumbaan F1.

Walaupun Grand Prix Bahrain Gulf Air di SIC hanya akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan selepas dipindahkan ke Malaysia susulan pembatalannya di Bahrain, keterujaan peminat sudah mula dirasai apabila beberapa pasukan F1 berkongsi karya grafik, video khas dan paparan nostalgia bagi meraikan kepulangan Sepang ke pentas F1. 

SIC mula mencipta sejarah apabila menganjurkan Grand Prix Malaysia buat kali pertama pada 1999, sekali gus menjadi antara litar moden terawal yang direka arkitek terkenal, Hermann Tilke. 

Sejak itu, Malaysia menjadi tuan rumah F1 selama 19 edisi berturut-turut sehingga perlumbaan terakhir pada 2017.

Sepanjang tempoh itu, Sepang dikenali sebagai antara litar paling mencabar dalam kalendar F1 dengan laluan sepanjang 5.543 kilometer yang menggabungkan selekoh berkelajuan tinggi, zon membrek yang mencabar serta cuaca tropika yang sering berubah secara drastik.

SEPANG HYPE STARTS RIGHT NOW

Pengumuman kepulangan F1 ke Malaysia turut diraikan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One menerusi video  menampilkan George Russell dan Kimi Antonelli dengan kapsyen “Sepang hype starts right now”.

Russell menyifatkan Sepang sebagai sebuah litar yang “amat hebat” dan antara litar kegemarannya untuk dipandu menerusi simulator sejak kecil.

Beliau turut melahirkan keterujaan untuk berlumba di negara asal rakan kongsi utama pasukannya, PETRONAS.

Antonelli pula mengakui walaupun belum pernah memandu di Sepang, pengalaman melalui simulator sudah cukup membuatkan beliau tidak sabar untuk beraksi di litar berkenaan.

Russell dan Antonelli mewakili generasi baharu pemandu F1 yang membesar menyaksikan perlumbaan dramatik di Sepang menerusi televisyen, namun hanya menyertai perlumbaan selepas Grand Prix Malaysia digugurkan daripada kalendar dunia.

Mercedes turut mengimbau kenangan menerusi hantaran Instagram bertajuk “Magic in Malaysia: Sepang Memories” yang memaparkan koleksi gambar daripada pelbagai edisi Grand Prix Malaysia. 

Ferrari, Red Bull Racing dan Audi turut berkongsi karya grafik bertemakan Malaysia sebagai penghormatan kepada kepulangan Sepang. 

VROOM ... Sepang lakar sejarah 

Sepang juga menjadi saksi kepada pelbagai detik bersejarah dalam F1. 

Antaranya pada Grand Prix Malaysia 2016 apabila jentera Mercedes dipandu Lewis Hamilton mengalami kegagalan enjin ketika sedang mendahului perlumbaan dengan hanya berbaki 15 pusingan, sekali gus mengubah haluan perebutan kejuaraan dunia yang akhirnya dimenangi Nico Rosberg.

Pada 2009 pula, hujan monsun yang lebat memaksa perlumbaan dihentikan selepas 31 pusingan, menjadikannya antara perlumbaan paling dramatik dalam sejarah F1.

Ketika perlumbaan digantung, pemandu Ferrari, Kimi Räikkönen, turut mencuri perhatian apabila dilihat menikmati aiskrim sambil mengenakan seluar pendek di garaj pasukan.

Perlumbaan terakhir F1 di Malaysia pada 2017 pula dimenangi pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen, sebelum Sepang meninggalkan kalendar perlumbaan dunia hampir sedekad.

Walaupun perlumbaan hanya akan berlangsung pada Oktober, sambutan hangat di media sosial membuktikan F1 sebenarnya sudah kembali ke Malaysia, dengan sejarah dan nostalgia Sepang sekali lagi menjadi perhatian peminat sukan permotoran di seluruh dunia.

Selamat maju jaya SIC dan pelumba! 

Must Watch Video

Advertisement