ZURICH: Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, mengkritik pihak yang terus mempertikaikan penganjuran Piala Dunia 2026 dengan mendakwa mereka menyebarkan kebencian serta khabar angin palsu.
Menerusi hantaran sepanjang 15 slaid di akaun Instagram rasminya pada Isnin, Infantino berkata sebahagian pengkritik terlalu memberi tumpuan kepada kontroversi sepanjang kejohanan sehingga mengabaikan impak positif yang dibawa oleh temasya berkenaan.
"Ketika jutaan orang sedang meraikannya, kamu pula sibuk menanam benih kebencian. Dunia kita hari ini memerlukan kasih sayang, bukannya kebencian; toleransi, bukannya perpecahan; keraian, bukannya ratapan.
"Kepada mereka yang berada di sebalik pena dan kertas, serta di belakang skrin yang sibuk menyebarkan kebencian serta khabar angin palsu, moga kamu menemui cinta dan kedamaian.
"Kami di FIFA telah menemui kedamaian kami dengan menganjurkan Piala Dunia yang paling luar biasa," katanya.
Beliau turut mempertahankan penganjuran kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dengan mendakwa ia berlangsung dalam keadaan selamat tanpa insiden keselamatan besar.
Sebelum ini, FIFA berdepan kritikan berhubung beberapa isu termasuk sekatan visa yang menjejaskan kemasukan penyokong, pegawai dan pengadil dari beberapa negara, termasuk pengadil Somalia, Omar Artan.
FIFA juga berdepan dakwaan campur tangan White House dalam beberapa keputusan berkaitan disiplin pemain serta isu harga tiket.
Infantino bagaimanapun mempertahankan keputusan pengadilan dan disiplin sepanjang kejohanan, dengan berkata pertikaian sedemikian merupakan perkara biasa dalam bola sepak profesional dan sering berlaku di liga-liga utama dunia.
Beliau turut memuji kemampuan bola sepak menyatukan masyarakat serta merapatkan hubungan antara negara yang berdepan konflik dan cabaran politik, sambil menyifatkan Piala Dunia 2026 sebagai antara kejohanan paling berjaya pernah dianjurkan FIFA.