JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berlepas ke Washington pada Isnin untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang disifatkannya sebagai perbincangan penting dengan tumpuan utama terhadap isu Iran.
Pertemuan itu merupakan yang kelapan antara kedua-dua pemimpin sejak Trump kembali ke White House dan yang pertama sejak Februari lalu, sebelum Israel dan AS melancarkan kempen serangan udara bersama terhadap Iran.
"Dalam tempoh yang rumit seperti ini, anda perlu bertindak dengan penuh ketegasan dan kebijaksanaan. Kami akan membincangkan semua isu dalam agenda, terutamanya Iran.
"Sudah tentu matlamat kami adalah untuk melindungi keselamatan negara serta memperluaskan lingkaran keamanan di sekeliling kami," kata Netanyahu menerusi kenyataan video sebelum berlepas.
Israel tidak terlibat secara langsung dalam kempen pengeboman selama dua minggu yang dilancarkan AS bulan ini, yang mencetuskan serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera Amerika di rantau berkenaan.
Trump menghentikan operasi ketenteraan itu pada hujung minggu lalu, manakala Iran menyatakan ia akan menggantung serangan balas selagi tempoh jeda oleh Washington terus dikekalkan.
Bagaimanapun, Israel memberi amaran bahawa sebarang tindakan agresif baharu daripada Tehran akan menerima tindak balas tegas daripada Tel Aviv.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Netanyahu mengakui wujud beberapa perbezaan pandangan antara beliau dan Trump ketika kepentingan Israel dan AS di rantau Asia Barat dilihat semakin berbeza.
Hubungan kedua-dua pemimpin itu turut menjadi perhatian selepas butiran perbualan telefon tegang pada Jun lalu terbongkar kepada media.
Dalam perbualan tersebut, Trump dilaporkan menyifatkan Netanyahu sebagai "gila", dakwaan yang kemudian disahkan sendiri oleh Presiden AS itu secara terbuka.
Insiden itu memperlihatkan ketegangan yang kadangkala wujud di sebalik hubungan rapat antara kedua-dua pemimpin berkenaan.
Dalam perkembangan yang dilihat sebagai isyarat positif kepada Trump, Israel pada Ahad bersetuju membenarkan pasukan keselamatan pelbagai negara memasuki Gaza seperti yang dicadangkan dalam pelan damai Trump untuk wilayah tersebut.
Pada 21 Julai lalu, Israel turut mengumumkan penempatan semula sebahagian pasukannya di selatan Lubnan selaras dengan perjanjian yang dicapai bersama pihak berkuasa Lubnan dengan sokongan Washington.
Pertemuan dengan Trump yang dijangka menonjolkan hubungan erat kedua-dua pemimpin itu dilihat penting buat Netanyahu di peringkat domestik ketika beliau berdepan pilihan raya pada 27 Oktober.
Netanyahu ketika ini dilaporkan berdepan cabaran dalam tinjauan pendapat, selain perlu menangani kemerosotan sokongan terhadap Israel di Amerika Syarikat. - Agensi