KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mencadangkan supaya diwujudkan satu prinsip teras tadbir urus wakaf yang boleh diterima pakai pada peringkat antarabangsa bagi memperkukuh pengurusan wakaf Islam di seluruh dunia.
Baginda bertitah cadangan rangka kerja itu perlu dibangunkan berasaskan standard tadbir urus wakaf sedia ada, yang diperkenalkan oleh Indonesia, Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) serta Kazakhstan.
Sultan Nazrin turut mencadangkan supaya mempertimbangkan universiti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) untuk memainkan peranan sebagai sekretariat.
“Mari kita wujudkan kumpulan kerja yang bertaraf antarabangsa, telus, dan kumpulan kerja rundingan … bagi peluas ia menjadi satu set prinsip teras yang boleh diterima pakai secara sukarela oleh institusi wakaf,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Sultan Nazrin bertitah dunia sudah pun mempunyai model tadbir urus wakaf, dan kini perlu menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa, bukannya memulakannya daripada peringkat awal.
Baginda turut menyeru penggunaan lebih meluas platform wakaf tunai digital yang dilengkapi papan pemuka awam masa nyata bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Tidak perlu bermula daripada peringkat awal, sebaliknya menggabungkan semua usaha sedia ada dan membuka ruang kepada pembangunan panduan wakaf antarabangsa yang benar-benar inklusif.
“Marilah kita mempercepat peralihan ke arah platform wakaf tunai digital, yang dilengkapi dengan papan pemuka awam masa nyata yang sangat telus,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut mencadangkan pelancaran projek perintis “Wakaf untuk Keamanan dan Daya Tahan Planet”, melibatkan institusi terpilih di Malaysia, Indonesia serta negara-negara ASEAN yang lain.
Inisiatif itu akan membiayai tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur berdaya tahan terhadap perubahan iklim, di samping menggalakkan pemeliharaan alam sekitar serta kewujudan bersama yang aman dalam kalangan masyarakat.
Baginda bertitah institusi wakaf juga perlu menerapkan prinsip keseimbangan, keadilan, belas kasihan dan amanah dalam rangka kerja tadbir urus.
Sultan Nazrin bertitah banyak aset wakaf masih belum dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan kelemahan tadbir urus, rekod tidak lengkap, pertikaian pemilikan tanah serta pentadbiran yang kurang berkesan.
“Terlalu banyak aset wakaf kita hari ini terbiar. Tanahnya tidak dimanfaatkan, rekodnya tidak lengkap, pertikaian hak milik dan potensinya tidak direalisasikan,” titah baginda.
Baginda menegaskan bahawa pengurusan wakaf ialah satu tanggungjawab yang memerlukan pemegang amanah menegakkan integriti dan kebertanggungjawaban pada tahap tertinggi.
“Kini tiba masanya untuk bertindak. Jangan biarkan generasi kita hanya sekadar mengagumi pencapaian nenek moyang tanpa meninggalkan sebarang sumbangan … ,” titah baginda.
-- BERNAMA