Skip to main content

Malaysia

DBKL sita peralatan, keluar 10 notis kompaun dalam Ops Tebah pusat hiburan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melaksanakan Operasi Bersepadu (Ops.TEBAH) bersama agensi Siri 5/2026 sekitar Jalan Telawi Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Imbi Bukit Bintang bermula pada jam 11.00 malam, Sabtu 25 Julai 2026 dan berakhir pada jam 7.00 pagi pada Ahad 26 Julai 2026. -- FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 10 notis kompaun dan melakukan tiga tindakan sitaan dalam Ops Tebah ke atas lima premis hiburan di sekitar ibu negara bermula 11 malam Sabtu lepas sehingga 7 pagi semalam. - Foto Facebook DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 10 notis kompaun dan melakukan tiga tindakan sitaan dalam Ops Tebah ke atas lima premis hiburan di sekitar ibu negara bermula 11 malam Sabtu lepas sehingga 7 pagi semalam.

DBKL menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan operasi itu dijalankan ke atas pusat hiburan di sekitar Jalan Telawi, Bangsar serta Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Imbi di Bukit Bintang yang dipercayai menjalankan aktiviti tanpa lesen serta melanggar syarat lesen, selain pemeriksaan terhadap pengunjung premis.

Operasi bersepadu dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). 

“Tiga tindakan sitaan membabitkan pelbagai peralatan muzik dilaksanakan dan 10 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen, menggaji pembantu warga asing tanpa permit sah, menjalankan perniagaan di luar skop lesen, pengendali tiada suntikan tifoid serta membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis.

“Kesalahan itu melibatkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 dan Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL, kesemua peralatan dan barangan muzik yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi.

Sementara itu, AADK menahan lima individu selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“JKDM pula mengeluarkan dua notis kepada pemilik premis hiburan supaya hadir ke pejabat kerana disyaki melanggar peraturan eksais serta menjual minuman keras secara runcit tanpa lesen di bawah Akta Eksais 1976,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut JAWI juga mengeluarkan 52 notis perintah hadir kepada pengunjung beragama Islam di pusat hiburan terbabit bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan meminum minuman memabukkan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement