Skip to main content

Politik

Nga gesa pemimpin politik dukung perpaduan nasional

Timbalan Pengerusi DAP yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. -- BERNAMA
Nga berkata kepimpinan yang bertanggungjawab harus memberi tumpuan kepada usaha menyatukan rakyat Malaysia dan bukannya mengeksploitasi perbezaan kaum dan agama untuk keuntungan politik. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyeru para pemimpin politik untuk mendukung nilai-nilai kesederhanaan, saling menghormati dan perpaduan nasional.

Beliau berkata kepimpinan yang bertanggungjawab harus memberi tumpuan kepada usaha menyatukan rakyat Malaysia dan bukannya mengeksploitasi perbezaan kaum dan agama untuk keuntungan politik.

"Kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya, dengan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang hidup bersama-sama dengan harmoni selama beberapa generasi, menyumbang bersama-sama kepada kemajuan dan kemakmuran negara, inilah yang perlu dihormati oleh semua.

"Pemimpin yang baik membina persefahaman dan memupuk lebih banyak persamaan, bukan perbezaan. Kepimpinan adalah tentang menyatukan rakyat berlandaskan aspirasi bersama, bukan memecahbelahkan mereka mengikut garis kaum atau agama," katanya dalam satu kenyataan.

Nga, yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP berkata sebarang percubaan untuk memanipulasi sentimen perkauman, menyebarkan ketakutan atau menyemai rasa kesangsian dalam kalangan masyarakat boleh memudaratkan perpaduan nasional dan menjejaskan semangat perpaduan yang telah lama menjadi asas kejayaan Malaysia.

Beliau berkata rakyat Malaysia hari ini lebih prihatin terhadap isu yang mempengaruhi secara langsung kehidupan seharian mereka, termasuk perumahan mampu milik, peluang ekonomi, perkhidmatan awam yang berkualiti, pembangunan infrastruktur dan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

"Orang ramai mahukan penyelesaian, bukan perpecahan. Mereka mahukan pemimpin yang boleh menunaikan janji, mewujudkan peluang dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Politik yang berasaskan kebencian dan provokasi kaum tidak mempunyai tempat dalam negara Malaysia yang progresif dan berpandangan jauh," katanya.

Nga juga menggesa para pengundi agar lebih bijak dan menolak individu yang cuba meraih sokongan politik dengan mewujudkan perpecahan dan memanipulasikan sentimen perkauman.

"Masa depan Malaysia tidak seharusnya ditentukan oleh mereka yang cuba memecahbelahkan kita. Ia harus dicorakkan oleh pemimpin yang mempunyai aspirasi, menggalakkan persefahaman dan menyatukan rakyat daripada semua kaum," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement