KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan seorang warganegara Malaysia meninggal dunia susulan satu insiden di Korea Selatan pada 26 Julai, manakala beberapa rakyat Malaysia yang lain turut terlibat dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Korea Selatan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Seoul telah berhubung rapat dengan waris terdekat si mati dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.
"Kedutaan sedang memberikan bantuan konsular yang diperlukan kepada pihak keluarga, termasuk memudah cara urusan dokumentasi, pengurusan dan penghantaran pulang jenazah ke Malaysia," menurut kenyataan itu.
Kementerian berkata kes berkenaan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Korea Selatan.
"Kedutaan akan terus mendapatkan maklumat ditentusahkan daripada pihak berkuasa berkaitan dan akan terus memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terlibat, selaras dengan undang-undang dan peraturan Republik Korea serta obligasi antarabangsa yang berkaitan," katanya.
Kementerian Luar menegaskan komitmennya untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan warganegara Malaysia di luar negara, sambil mengingatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke luar negara supaya menghormati serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara tuan rumah.
Media Korea Selatan melaporkan pada Ahad seorang warganegara Malaysia maut selepas terlibat dalam satu pergaduhan berkumpulan di Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara dan seorang lagi rakyat Malaysia ditahan berhubung insiden maut itu.
-- BERNAMA