Skip to main content

Malaysia

TNB, Air Selangor meterai kerjasama perkukuh daya tahan infrastruktur awam kritikal negara

[TB]_Air Selangor perjanjian ESA_FB Air Selangor
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) hari ini memeterai Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (CESA) bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan serta kemampanan infrastruktur tenaga dan air negara. - Foto Air Selangor

SHAH ALAM: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) hari ini memeterai Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (CESA) bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan serta kemampanan infrastruktur tenaga dan air negara.

Dalam kenyataan bersama hari ini, TNB dan Air Selangor memaklumkan kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting dalam memperluas penyelesaian utiliti bersepadu yang meningkatkan kecekapan infrastruktur awam kritikal, di samping menyokong aspirasi negara ke arah kemampanan, peralihan tenaga dan jaminan keselamatan bekalan air. 

“Menerusi ESA, TNB akan membekalkan elektrik voltan tinggi kepada Loji Rawatan Air Sungai Rasau di Kuala Langat, Selangor iaitu loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,400 juta liter sehari (MLD).

“Apabila siap sepenuhnya pada 2031, loji ini dijangka membekalkan air terawat bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, perjanjian tersebut juga menjadikan Loji Rawatan Air Sungai Rasau sebagai loji rawatan air pertama di Malaysia yang menerima bekalan elektrik voltan tinggi secara terus pada voltan 132 kV, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan serta kecekapan operasi satu daripada aset infrastruktur air paling strategik negara.

Selain kerjasama tersebut, TNB melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), juga akan membekalkan perkhidmatan Gas District Cooling kepada fasiliti Air Selangor di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur menerusi CESA dengan konsesi selama 20 tahun.

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan sekali gus menjadikan Air Selangor sebagai syarikat utiliti air pertama di Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pendinginan lingkungan.

“Melalui perkhidmatan TNEC, fasiliti ini dijangka menikmati kebolehpercayaan sistem yang lebih tinggi, prestasi tenaga yang lebih mantap serta kecekapan operasi yang lebih baik berbanding sistem pendinginan konvensional secara kendiri,” menurut kenyataan itu.

Pertukaran perjanjian berkenaan disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali, disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Air Selangor. 

Dalam pada itu, Shamsul berkata kerjasama itu membuktikan integrasi lebih erat antara sektor tenaga dan sektor air mampu memperkukuh daya tahan infrastruktur kritikal negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan jangka panjang Malaysia.

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mampan. Dengan menggabungkan kepakaran kami bersama Air Selangor, kami mencipta nilai yang memberi manfaat kepada pelanggan, memperkukuh perkhidmatan utiliti penting serta menyumbang kepada masa depan Malaysia yang lebih lestari," katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Adam Saffian berkata kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Air Selangor untuk memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat disalurkan secara berterusan kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia serta ahli kepada Leading Utilities of the World (LUOW), memastikan operasi yang cekap, berdaya tahan dan mampan merupakan teras kepada janji jenama kami untuk menyampaikan kegembiraan dalam setiap titisan kepada pengguna, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement