Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Bukan arahan kepada tentera dan polis, tapi mohon beri peluang - Zahid

[TB]_Zahid Hamidi, MARA, sendayan 2_ASTRO AWANI
Ahmad Zahid berkata, kenyataan itu bukan satu arahan, sebaliknya hanya permohonan.

SEREMBAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Barisan Nasional (BN) akan komited menjaga kebajikan anggota tentera dan polis serta keluarga mereka.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi BN, memohon pengundi awal membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memberikan peluang kepada calon BN.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan itu bukan satu arahan, sebaliknya hanya permohonan.

“Saya tidak mengeluarkan sebarang arahan, tetapi sebagai Pengerusi BN, saya memohon supaya pihak yang mengundi awal berikanlah peluang kepada calon-calon BN untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan.

“Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk mereka dan keluarga mereka apabila keputusan memperlihatkan bahawa pada 1 Ogos nanti undi-undi awal itu memihak kepada calon-calon BN,” katanya ketika ditemui media selepas Program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026, Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata sebanyak 22,339 anggota PDRM dan ATM bersama-sama pasangan akan mengundi pada PRN Negeri Sembilan ke-16 pada esok (28 Julai).

Menurutnya, jumlah itu melibatkan 5,455 pegawai dan anggota PDRM, manakala 16,884 lagi terdiri daripada anggota ATM bersama dengan pasangan yang akan menunaikan tanggungjawab pada hari berkenaan.
 

Must Watch Video

Advertisement