Skip to main content

Malaysia

FAMA himpun lebih 300 usahawan terbaik dari seluruh negara sertai MAHA 2026

KUALA LUMPUR, 27 Julai -- Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Shahrizan Sudiman (lima,kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah FAMA Suzilawaty Shuib (lima, kiri) dan Pengarah Kanan Bahagian Galakan Pasaran dan Kepenggunaan FAMA Asmizah Jaafar (tiga, kanan) merasmikan Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi FAMA@MAHA2026 di ibu pejabat FAMA hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shahrizan (lima,kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah FAMA Suzilawaty Shuib (lima, kiri) dan Pengarah Kanan Bahagian Galakan Pasaran dan Kepenggunaan FAMA Asmizah Jaafar (tiga, kanan) merasmikan Program JAM Edisi FAMA@MAHA2026 di ibu pejabat FAMA hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawakan 343 usahawan terbaik dari seluruh negara, bagi memeriahkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang dari 28 Ogos hingga 6 Sept.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Shahrizan Sudiman berkata pemilihan peserta atau usahawan itu, dibuat menerusi pertandingan pada peringkat negeri bagi memastikan produk yang diketengahkan berkualiti tinggi dan memenuhi standard ditetapkan.

“Contohnya kalau di Johor, kita ada kacang pool, di Pahang kita ada ikan patin tempoyak. Kita akan bawakan semua produk ini ke MAHA 2026 nanti dan saya rasa produk yang dipilih memang menepati cita rasa rakyat Malaysia pada kali ini.

“Pilihan kita bukan sekadar memilih, tetapi kita mencari yang terbaik untuk memastikan semua pengunjung yang hadir ke MAHA 2026, mendapat manfaat yang terbaik dan seterusnya menyokong industri pengeluaran makanan dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi FAMA@MAHA2026 di pekarangan Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, hari ini.

Shahrizan berkata 343 usahawan dan pempamer yang dipilih FAMA itu menerusi empat segmen utama iaitu Food Empire, Food Truck Fiesta, Agribusiness dan Kingdom of Agrofood (KOA) daripada keseluruhan 2,000 pempamer di MAHA 2026.

“Menerusi segmen Agribusiness sahaja, kita melibatkan kira-kira 141 usahawan dari seluruh negara dan menariknya, hampir 20 peratus daripada mereka telah pun berjaya memasarkan produk ke luar negara,” katanya.

Mengulas mengenai segmen Food Empire, Shahrizan memaklumkan sebanyak 74 peserta bakal menyertai segmen itu, untuk menawarkan pelbagai produk khas negeri selain penglibatan usahawan antarabangsa dari rantau Timur Tengah.

“Bagi segmen Food Truck Fiesta pula, ia akan menghimpunkan kira-kira 34 usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai sajian makanan viral yang dipilih dari seluruh negara.

“Segmen Kingdom of Agrofood (KOA) bakal menampilkan hasil pertanian tempatan merangkumi sektor ternakan dan perikanan, selain mengangkat buah melon dari pelbagai negeri sebagai Fruit of the Event,” katanya.

Mengenai Program JAM yang berlangsung hari ini, Shahrizan berkata sebanyak 33 usahawan menerusi 44 lot jualan, telah menyertai program berkenaan sebagai platform promosi awal bagi memperkenalkan tarikan utama FAMA, menjelang penganjuran MAHA 2026.

“Sepanjang program ini, pengunjung boleh menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk Kombo MADANI pada harga serendah RM10, Happy Hour RM5, ayam segar RM10 seekor, daging segar RM25 sekilogram, selain promosi buah-buahan bermusim, produk Agromas, Kopiesatu dan edaran sayur-sayuran percuma. 

“Inisiatif ini membolehkan orang ramai menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran, selaras dengan usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Program JAM yang diperkenalkan sejak 2023, diteruskan menerusi edisi FAMA@MAHA2026 sebagai bukti komitmen FAMA dalam memperkasakan usahawan agromakanan, menjamin keterjaminan makanan negara dan memberikan pengalaman terbaik kepada pengunjung.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement