Skip to main content

Malaysia

Pentas F1 di Malaysia bakal meriah, siapa artis pilihan penganjur?

SEPANG, 30 Sept -- Pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas Nico Rosberg ketika sesi latihan bebas menjelang Perlumbaan Formula One (F1) Petronas Malaysian Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. -- fotoBERNAMA
SIC yang kali terakhir menjadi tuan rumah F1 pada 2017, kekal sebagai antara litar ikonik dunia dan simbol kegemilangan Malaysia dalam sukan permotoran antarabangsa. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kepulangan Formula 1 (F1) ke Malaysia selepas sembilan tahun bukan sahaja membuatkan peminat sukan permotoran teruja, malah turut mencetuskan persoalan siapakah barisan artis yang bakal menghiburkan penonton sepanjang perlumbaan hujung minggu dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Setakat ini, pihak penganjur belum mengumumkan senarai rasmi artis yang akan membuat persembahan sempena F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) itu.

Namun, berdasarkan tradisi F1 di seluruh dunia, perlumbaan itu lazimnya disertai konsert berskala besar yang menampilkan artis terkenal antarabangsa dan tempatan untuk menghiburkan peminat.

Sepanjang penganjuran F1 di Sepang sebelum ini, pentas hiburan pernah menampilkan artis bertaraf dunia termasuk kumpulan K-pop Girls’ Generation dan SHINee, selain beberapa penyanyi popular Asia dan Malaysia yang berjaya menarik puluhan ribu pengunjung ke litar.

Kepulangan F1 ke Malaysia kali ini dijangka membuka peluang kepada penganjur untuk membawa semula konsep “race weekend entertainment” yang menjadi identiti perlumbaan F1 di litar-litar utama dunia seperti Singapura, Abu Dhabi dan Austin.

Sebagai perbandingan, Grand Prix Singapura terkenal dengan barisan artis bertaraf dunia yang mengiringi perlumbaan setiap tahun.

Pada edisi terdahulu, pentas itu pernah menampilkan Foo Fighters, G-Dragon, Alan Walker, Elton John, Kylie Minogue, OneRepublic dan Post Malone, sekali gus menjadikan konsert sebagai tarikan utama selain aksi di litar.

Dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam tempoh terdekat, peminat kini menantikan sama ada penganjur akan membawa nama-nama besar dari arena muzik antarabangsa, artis serantau mahupun bakat tempatan bagi meraikan kepulangan perlumbaan paling berprestij dunia itu ke Sepang.

Pada Khamis, media melaporkan Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke SIC selepas sembilan tahun, apabila bakal menjadi tuan rumah GP F1 Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober depan.

SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan dari kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

Must Watch Video

Advertisement