Skip to main content

Dunia

Bank Pusat Singapura ketatkan dasar monetari untuk kali kedua tahun ini

[TB]_Logo Pihak Berkuasa Kewangan Singapura_MAS
Menurut MAS, pelarasan secara bersiri itu kepada pendirian dasarnya meneruskan pengetatan yang dilaksanakan pada April di tengah-tengah ketidaktentuan global yang terus memuncak. - Gambar

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin mengumumkan pengetatan dasar kewangannya buat kali kedua berturut-turut, disebabkan risiko inflasi yang berterusan.

MAS dalam satu kenyataan memaklumkan ia akan meningkatkan sedikit kadar tukaran efektif nominal dolar Singapura (S$NEER), walaupun pelarasan itu lebih kecil daripada kenaikan dibuat pada April, 2026.

Pengetatan dasar pada April, 2026, disusuli tempoh kenaikan S$NEER yang meluas pada suku tahun baru-baru ini telah menyumbang kepada penurunan tekanan inflasi dalam ekonomi.

“Bagaimanapun, tekanan harga luaran dijangka berterusan dan menyerap dengan lebih meluas ke atas harga pengguna domestik pada masa depan.

"Inflasi teras MAS diunjurkan meningkat mulai Julai dan kekal tinggi, tetapi dijangka menyederhana secara ketara mulai pertengahan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MAS, pelarasan secara bersiri itu kepada pendirian dasarnya meneruskan pengetatan yang dilaksanakan pada April di tengah-tengah ketidaktentuan global yang terus memuncak.

Ia mengekalkan landasan kenaikan yang wajar bagi jalur dasar S$NEER untuk mengekang tekanan inflasi.

"MAS berada pada kedudukan yang baik untuk bertindak balas secara berkesan terhadap sebarang risiko kepada kestabilan harga untuk jangka sederhana dan akan terus memantau perkembangan ekonomi dengan teliti.

“Selain itu, MAS juga bersedia untuk mengekang kedudukan naik turun yang berlebihan dalam S$NEER," menurut Penguasa Kewangan Singapura.

Sementara itu, bank pusat itu juga menegaskan bahawa prospek makroekonomi kekal dibayangi ketidaktentuan yang ketara.

Inflasi boleh melonjak dengan lebih kukuh daripada jangkaan jika harga tenaga menokok semula, manakala ia juga boleh berlanjutan daripada diunjurkan jika pertumbuhan pelaburan yang kukuh menghasilkan limpahan permintaan yang lebih besar di luar negara dan di Singapura.

"Pada masa sama, risiko penurunan kepada ekonomi global dan domestik masih wujud.

"Pengetatan di luar jangkaan dalam keadaan kewangan atau penurunan dalam pelaburan berkaitan AI boleh memberi kesan kepada kemampanan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan seterusnya melemahkan inflasi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement