Skip to main content

Bisnes

RCI Tabung Haji: Jika tidak bersalah, pertahankan diri, jika salah, dakwa - Anwar

GEMAS, 27 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini. - Foto BERNAMA

GEMAS: Sebarang tindakan susulan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji perlu dibuat mengikut proses undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung laporan berkenaan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ia didedahkan kepada umum.

Menurut Anwar, mana-mana pihak yang tidak melakukan kesalahan berhak mempertahankan diri, manakala individu yang didapati bersalah perlu berdepan tindakan undang-undang.

“Saya tidak mahu bicara panjang, mudah-mudahan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri kita akan putuskan. Ada laporan, biar orang baca.

“Siapa kalau tidak salah, dipertahankan. Kalau salah, dakwa. Kalau dihukum masuk penjara, masuk penjaralah. Itu bukan urusan saya,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Ujar Anwar, proses siasatan, pendakwaan dan penghakiman adalah di bawah bidang kuasa institusi berbeza dan tidak boleh dipengaruhi oleh Perdana Menteri.

Katanya, sistem pentadbiran negara menetapkan bidang kuasa tertentu bagi setiap institusi termasuk badan penyiasat, pihak pendakwaan dan badan kehakiman.

Menurut beliau, seorang Perdana Menteri yang amanah perlu memastikan setiap proses berjalan secara bebas mengikut Perlembagaan serta peraturan yang ditetapkan.

“Sistem kita menetapkan, siasat itu badan siasatan, buat pertuduhan itu peguam negara. Hukum, para hakim. Itu bukan urusan Perdana Menteri.

“Tetapi seorang Perdana Menteri yang diamanahkan harus jujur menyatakan mesti bebas ikut proses perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa soal amanah tidak boleh dipandang ringan kerana pengkhianatan terhadap amanah akhirnya memberi kesan kepada negara.

Must Watch Video

Advertisement