PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap individu yang memuat naik kenyataan menghina institusi diraja di media sosial.
Beliau berkata, kandungan yang tular sejak beberapa hari lalu itu bukan sahaja bersifat biadab, malah boleh menimbulkan persepsi seolah-olah satu kaum tidak menghormati institusi diraja, sekali gus mengganggu keharmonian masyarakat.
Menurutnya, institusi diraja merupakan simbol yang dihormati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, justeru tidak wajar dijadikan bahan polemik atau dikaitkan dengan mana-mana pihak.
“Yang saya nampak... dua, tiga hari ini... beredar di media sosial satu kenyataan yang sangat biadab terhadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Ini memberikan satu pandangan yang bagi saya cukup sedih kerana menggambarkan seolah-olah Tuanku boleh diperkotak-katikkan dengan sebuah parti (iaitu) DAP... sedangkan kita sendiri maklum bahawa institusi ini adalah satu institusi yang cukup dijaga
“Dan saya rasa bukan sahaja orang Melayu menghormati institusi ini malah rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama ataupun keturunan mereka setiasa menganggap bahawa institusi ini adalah satu institusi yang harus dipertahankan,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Negeri Sembilan, di sini, pada Isnin.
Pada Isnin, Bernama melaporkan Istana Negeri Sembilan menasihatkan parti-parti politik yang bertanding untuk tidak mengaitkan institusi diraja semasa berceramah dan berkempen pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali menegaskan institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.
Beliau berkata institusi diraja ialah payung perpaduan rakyat dan berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.