WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin berkata, rundingan antara Washington dan Tehran sedang berlangsung dengan baik dan terdapat peluang untuk mencapai penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan sejak lima bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa serangan ketenteraan AS terhadap Iran akan disambung semula sekiranya rundingan gagal menghasilkan sebarang kemajuan.
"Kami sedang mengadakan rundingan yang baik. Saya fikir terdapat peluang yang baik untuk sesuatu dicapai. Jika ia berjaya, itu baik. Jika tidak, kita akan kembali melakukan apa yang kita lakukan dua hari lalu," katanya.
Washington secara mengejut menghentikan kempen serangan udara selama dua minggu ke atas Iran pada Sabtu, sekali gus menandakan perubahan strategi terbaharu Trump dalam konflik berkenaan.
Namun, di sebalik nada optimis yang ditunjukkan Trump, Iran dilihat menguji tempoh jeda operasi ketenteraan AS apabila Arab Saudi, Jordan dan Iraq melaporkan serangan dron pada Isnin.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata saluran komunikasi antara kedua-dua pihak masih diteruskan menerusi pengantara dan Tehran tidak pernah meninggalkan usaha diplomatik.
Bagaimanapun, beliau menafikan laporan bahawa Iran meminta rundingan secara langsung dengan Washington.
"Itu adalah rekaan semata-mata. Ia bukan dalam DNA kami," katanya.
Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters pada Ahad bahawa Tehran akan menghentikan serangan balas selagi gencatan yang diumumkan sendiri oleh Trump terus dipatuhi.
Dalam perkembangan berkaitan, Arab Saudi memaklumkan, pihaknya menembak jatuh beberapa dron yang menyasarkan kemudahan petroleum termasuk di ibu negara, Riyadh.
Riyadh mendakwa, dron berkenaan dilancarkan dari Iraq oleh kumpulan bersenjata yang disokong Iran dan menegaskan ia berhak mengambil tindakan balas.
Secara berasingan, kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Tehran mendakwa menyerang saluran paip minyak East-West sepanjang 1,200 kilometer yang menyalurkan minyak ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah sebagai tindak balas terhadap dakwaan pencerobohan dron Arab Saudi ke ruang udara Yemen.
Tehran turut menegaskan bahawa ia masih mengawal Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik dunia yang menjadi tumpuan pergerakan bekalan tenaga global.
Trump sebelum ini menuntut supaya semua kapal dibenarkan melalui selat itu tanpa sebarang sekatan.
Harga minyak menjunam
Penangguhan kempen pengeboman AS selepas 13 malam serangan berturut-turut serta kenyataan Trump mengenai prospek rundingan dengan Iran menyebabkan harga minyak mentah dunia jatuh mendadak.
Minyak mentah Brent yang melepasi paras AS$100 setong minggu lalu buat kali pertama sejak Mei susut kira-kira 8.2 peratus pada Isnin kepada bawah AS$89 setong, malah sempat mencecah AS$87.55.
Menurut seorang pegawai AS dan beberapa laporan media negara itu, keputusan Trump menghentikan operasi pengeboman dibuat selepas pihak tentera memaklumkan bahawa serangan tersebut telah mencapai had keberkesanannya.
Pegawai terbabit berkata, komander tentera memaklumkan, sasaran yang boleh diserang semakin berkurangan.
Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Dan Caine turut dilaporkan menyuarakan kebimbangan mengenai penyusutan stok peluru udara.
Trump bagaimanapun menolak dakwaan bahawa tentera AS mengalami kekurangan peluru.
"Kita mempunyai banyak peluru. Kita sedang membina semula inventori dengan pantas selepas banyak bekalan dihantar ke Ukraine," katanya sambil menambah bahawa beliau mahukan lebih banyak sistem persenjataan canggih.
Iran dakwa halang enam kapal di Selat Hormuz
Beberapa media kerajaan Iran memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, Tehran telah mengarahkan enam kapal yang disifatkan sebagai "melanggar peraturan" berpatah balik pada pagi Isnin selepas cuba melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran.
Trump melancarkan semula kempen pengeboman ke atas Iran selepas Tehran bertindak ke atas kapal-kapal yang menggunakan laluan perkapalan yang dipromosikan Washington berhampiran pantai Oman.
Iran pula menegaskan, kapal-kapal hanya dibenarkan menggunakan laluan yang lebih hampir ke pantainya, yang berada di bawah kawalan Tehran dan berpotensi dikenakan bayaran transit.
Dalam tempoh dua minggu serangan udara baharu AS itu, puluhan individu dilaporkan terbunuh di Iran manakala beberapa jambatan, terowong serta sasaran ketenteraan musnah.
Empat anggota tentera AS turut terbunuh dalam serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera Amerika di negara Arab berhampiran.
Iran juga menyerang infrastruktur awam di beberapa negara Teluk sebagai tindakan balas terhadap serangan AS yang didakwa menyasarkan kawasan awam.
Penggantungan serangan oleh Washington kini menimbulkan persoalan mengenai bentuk tekanan yang masih boleh digunakan AS untuk mencapai matlamat Trump, iaitu mengurangkan pengaruh Iran ke atas Selat Hormuz.
Washington dan Tehran sebelum ini mencapai persetujuan pada Jun bagi mewujudkan kerangka rundingan yang dijadual berlangsung sebelum akhir Ogos, termasuk membincangkan isu utama seperti program nuklear Iran.
Namun, kedua-dua pihak masih berbeza tafsiran mengenai kandungan memorandum berkaitan Selat Hormuz.
Washington menegaskan perjanjian itu mensyaratkan kebebasan pelayaran di laluan berkenaan, manakala Tehran berpendapat ia memberikan kuasa kepada Iran untuk mengawasi pergerakan kapal dan mengawal transit di selat strategik tersebut.