CYBERJAYA: Malaysia perlu menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bukannya mengambil pendekatan menolak kemajuan tersebut kerana kebimbangan terhadap risikonya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, walaupun AI membawa cabaran termasuk ancaman terhadap keselamatan negara, penyelesaiannya adalah melalui tadbir urus dan kawal selia yang berkesan, bukan dengan menghalang pembangunan teknologi berkenaan.
“Apabila kita sebut AI, banyak perkara baharu yang dibangkitkan. Pihak keselamatan mempunyai kebimbangan dan kebimbangan itu memang ada asasnya, khususnya berkaitan keselamatan negara.
“Tetapi perdebatan ini jangan dimulakan dengan pendekatan anti-teknologi. Kita kena kuasai dahulu teknologi ini sebelum menentukan bagaimana ia perlu diuruskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di Cyberjaya, pada Selasa.
Menurut Anwar, antara isu yang perlu diberikan perhatian ialah kedaulatan data negara, penggunaan sovereign cloud serta implikasi perundangan antarabangsa seperti Cloud Act Amerika Syarikat yang boleh memberi kesan kepada akses terhadap data dan sistem digital.
Beliau berkata, aspek keselamatan siber dan tadbir urus AI perlu menjadi keutamaan dalam usaha kerajaan mempercepatkan agenda transformasi digital negara.
“Bahaya itu memang wujud. Ada syarikat-syarikat besar yang mahu menguasai dunia melalui kepakaran mereka dalam AI.
“Tetapi adakah kerana itu kita batalkan semua pembangunan AI? Tidak mungkin,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia perlu memastikan pembangunan AI dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan keseimbangan antara inovasi, keselamatan dan perlindungan kepentingan negara.
Beliau turut menegaskan Kementerian Digital akan terus menyelaras pembangunan ekosistem AI negara bagi memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan secara optimum tanpa menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.