Skip to main content

Dunia

Trump mohon Mahkamah Agung benarkan sekatan undi pos menjelang pilihan raya

U.S. President Donald Trump reacts at the White House Correspondents' Association (WHCA) Dinner, which was rescheduled from April after it was interrupted when a man tried to force his way through security and fired a shotgun, at the Waldorf Astoria hotel in Washington, D.C., U.S., July 24, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst
Pentadbiran Trump (foto) berkata langkah itu penting bagi memastikan integriti pilihan raya dan mengelakkan penyalahgunaan sistem pengundian melalui pos. -Gambar fail/Reuters

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara rasmi memohon Mahkamah Agung AS membenarkan pelaksanaan perintah eksekutif yang mengetatkan peraturan pengundian melalui pos menjelang Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada November ini.

Permohonan kecemasan itu difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) selepas Mahkamah Rayuan Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah yang menyekat pelaksanaan beberapa bahagian perintah berkenaan di 23 negeri dan Washington, DC.

Pentadbiran Trump berkata langkah itu penting bagi memastikan integriti pilihan raya dan mengelakkan penyalahgunaan sistem pengundian melalui pos.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk mewajibkan Perkhidmatan Pos AS menghantar kertas undi hanya kepada individu yang tersenarai dalam pangkalan data kewarganegaraan yang diwujudkan kerajaan persekutuan, selain memperkenalkan syarat kelayakan pengundi yang lebih ketat.

Perintah eksekutif itu dikeluarkan Trump pada 31 Mac lalu menerusi arahan bertajuk Ensuring Citizenship Verification and Integrity in Federal Elections.

Sebelum ini, lebih 20 negeri yang diterajui Demokrat memfailkan saman dengan hujah bahawa Presiden AS tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan peraturan pilihan raya yang berada di bawah bidang kuasa negeri dan Kongres.

Mahkamah daerah kemudian memutuskan bahawa beberapa bahagian perintah berkenaan melampaui kuasa eksekutif serta bercanggah dengan Perlembagaan AS yang memberi peranan utama kepada negeri-negeri dalam pentadbiran pilihan raya.

Mahkamah Agung kini dijangka meneliti permohonan kecemasan itu selepas mengarahkan pihak negeri-negeri yang mencabar perintah berkenaan mengemukakan respons mereka selewat-lewatnya pada 3 Ogos.

 

 

Must Watch Video

Advertisement