SEOUL: Samsung memperketat ciri keselamatan peranti pintar keluarannya menerusi One UI 9.0 berasaskan Android 17, yang akan memaksa pengguna melakukan tetapan semula kilang sekiranya kod laluan gagal dimasukkan sebanyak 13 kali, lapor Amanz.
Langkah itu diperkenalkan bagi melindungi maklumat peribadi pengguna, termasuk data perbankan, aktiviti harian dan sejarah penggunaan daripada diakses tanpa kebenaran sekiranya peranti hilang atau dicuri.
Selepas cubaan gagal ke-13, satu-satunya cara untuk menggunakan semula peranti adalah dengan melakukan tetapan semula kilang melalui Recovery Mode.
Proses itu akan memadamkan semua data yang disimpan dalam peranti.
Selain itu, pemilik asal perlu mengesahkan identiti menggunakan akaun Google atau Samsung yang didaftarkan sebelum ini bagi melepasi ciri Perlindungan Tetapan Semula Kilang (Factory Reset Protection, FRP).
Sistem baharu itu membenarkan empat cubaan berturut-turut tanpa sebarang sekatan masa.
Bermula pada cubaan kelima, pengguna akan dikenakan tempoh menunggu selama satu minit sebelum dibenarkan mencuba semula.
Tempoh itu meningkat kepada lima minit pada cubaan keenam, 15 minit pada cubaan ketujuh dan 30 minit pada cubaan kelapan.
Sekatan kemudian meningkat kepada 90 minit pada cubaan kesembilan, empat jam pada cubaan ke-10, 12 jam pada cubaan ke-11 dan 24 jam pada cubaan ke-12.
Sekiranya cubaan ke-13 turut gagal, peranti akan dikunci dan hanya boleh digunakan semula selepas tetapan semula kilang dilakukan.
Ciri baharu itu diperkenalkan bagi menyukarkan serangan brute-force, iaitu kaedah meneka kata laluan secara berulang kali menggunakan alat automatik untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran.
One UI 9.0 turut dilengkapi fungsi "smart counting" yang tidak mengira kemasukan kod salah yang sama secara berulang sebagai beberapa cubaan berasingan, sekali gus mengurangkan risiko peranti terkunci akibat kesilapan tidak sengaja.
Perisian itu kini digunakan pada barisan telefon boleh lipat terbaharu Samsung, termasuk Galaxy Z Fold8, Galaxy Z Fold8 Ultra dan Galaxy Z Flip8.