KUALA LUMPUR: Kelestarian alam sekitar perlu diberi perhatian serius demi keselamatan dan keterjaminan sumber makanan negara untuk generasi akan datang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata rakyat perlu memainkan peranan secara kolektif dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang berlaku ketika ini.
“Perubahan iklim bukan lagi isu masa depan tetapi cabaran yang sedang kita hadapi hari ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai peranan dalam memelihara alam sekitar melalui tindakan kecil yang memberi impak besar, mengurangkan pembaziran, menjaga kebersihan, menanam pokok dan menggunakan sumber secara berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertemakan “Tindakan Global untuk Iklim” hari ini.
Mohamad turut mengajak rakyat untuk bersama-sama memupuk kesedaran alam sekitar dan mengambil tindakan demi memastikan bumi kekal hijau, lestari dan sejahtera.
“Satu Dunia. Satu Tindakan. Satu Harapan,” katanya.
-- BERNAMA