MELAKA: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka meningkat kepada 779 orang daripada 255 keluarga malam ini berbanding 15 orang daripada lima keluarga, petang tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga lagi PPS dibuka setakat 9.30 malam, menjadikan keseluruhan enam PPS dibuka di negeri itu dengan empat daripadanya di Melaka Tengah manakala dua di Alor Gajah.
“Dua PPS baharu yang dibuka di Melaka Tengah ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 dan SK Taman Bukit Rambai manakala di Alor Gajah membabitkan Balai Raya Kampung Jeram,” menurut portal berkenaan.
Di Melaka Tengah, sebanyak 589 orang daripada 188 keluarga ditempatkan di SK Tanjung Minyak 2, SK Taman Bukit Rambai (102 orang, 34 keluarga); Dewan Pejabat Jawatan Kuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor (43 orang, 17 keluarga) serta SK Bertam Hulu (24 orang, sembilan keluarga).
Di Alor Gajah, 16 orang daripada enam keluarga berlindung di Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah manakala lima mangsa daripada satu keluarga di Balai Raya Kampung Jeram.
-- BERNAMA