Skip to main content

Malaysia

Jentera perkhidmatan awam digerak pertahan kedaulatan ekonomi negara - KSN

[TB]_Shamsul Azri_FB Shamsul Azri
Shamsul Azri berkata kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan dan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan visa, permit atau lesen yang boleh menjejaskan negara. - Gambar Facebook Shamsul Azri

KUALA LUMPUR: Seluruh jentera perkhidmatan awam akan digerakkan bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan bersepadu antara kementerian dan agensi dalam usaha membanteras penyalahgunaan visa, permit dan lesen oleh warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan haram di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah itu dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi melindungi kepentingan rakyat.

"Saya mengambil perhatian serius arahan Perdana Menteri semasa perjumpaan bersama warga Kementerian Komunikasi pagi ini…tindakan bersepadu antara kementerian serta agensi berkaitan (akan dilakukan) bagi menjamin pematuhan undang-undang, melindungi kepentingan rakyat dan memelihara ekosistem perniagaan yang adil, telus serta berintegriti," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Shamsul Azri berkata kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan dan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan visa, permit atau lesen yang boleh menjejaskan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat serta kepentingan nasional.

Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Perdana Menteri berkata terdapat warga asing yang menggunakan lesen dan permit milik rakyat tempatan untuk menjalankan perniagaan, selain ada yang mendaftarkan perniagaan secara sah tetapi mendapatkan bekalan barangan serta tenaga kerja dari negara asal mereka, sekali gus menjejaskan kepentingan penduduk tempatan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Bank Negara Malaysia mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi membanteras aktiviti itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement