TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan mempergiat pemantauan terhadap inap desa (homestay), hotel bajet dan rumah tumpangan di negeri ini tahun ini bagi memastikan semua premis berkenaan mematuhi aspek keselamatan kebakaran.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata tumpuan diberikan kepada premis yang dijadikan inap desa memandangkan kebanyakannya dipercayai tidak berdaftar, sekali gus menyukarkan pemantauan dari aspek keselamatan kebakaran.
“Kita akan melihat dan meneliti maklumat daripada pelbagai platform tempahan dalam talian seperti Booking.com dan Agoda bagi mengenal pasti premis yang dijadikan inap desa untuk memastikan aspek keselamatan kebakaran dipatuhi.
“Setakat ini belum ada kes kebakaran melibatkan penghuni inap desa di negeri ini, namun JBPM mengambil langkah awal dengan memberi amaran kepada pemilik supaya memenuhi keperluan keselamatan kebakaran sebelum sebarang insiden berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang media Kempen Keselamatan Kebakaran dan Fire Point Bomba Komuniti di Pulau Teluk Renjuna di sini hari ini.
Beliau berkata pemilik inap desa sekurang-kurangnya perlu menyediakan alat pemadam api serta mempamerkan panduan penggunaannya bagi membolehkan penghuni bertindak segera sekiranya berlaku kebakaran.
Farhan Sufyan berkata penyediaan alat pemadam api merupakan keperluan asas yang mampu membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal sebelum ketibaan pasukan bomba.
Mengulas pelaksanaan penguatkuasaan, beliau berkata JBPM akan turun padang bagi mengesan premis yang beroperasi sebagai inap desa namun mengakui terdapat pemilik yang kurang memberikan kerjasama.
“Ada yang tidak menjawab panggilan telefon atau tidak hadir apabila temu janji ditetapkan kerana mungkin bimbang dikenakan tindakan.
“Sebenarnya isu pendaftaran inap desa bukan di bawah bidang kuasa bomba. Tanggungjawab kami ialah memastikan premis yang telah ditukar fungsi daripada rumah kepada inap desa memenuhi aspek keselamatan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata JBPM akan mendahulukan khidmat nasihat kepada pemilik premis sebelum mengeluarkan Notis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan ditetapkan.
Sementara itu, beliau berkata JBPM Kelantan telah mencapai 130 peratus daripada sasaran pemeriksaan yang ditetapkan bagi hotel bajet dan inap desa, namun usaha itu akan terus dipertingkatkan berikutan pertambahan premis penginapan tersebut di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata JBPM Kelantan menerima 2,190 panggilan kebakaran dari Januari hingga kini, dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Mac dan April.
Farhan Sufyan berkata jumlah itu merupakan panggilan kebakaran kedua tertinggi di Malaysia selepas Kedah dan beliau berharap jumlah kejadian kebakaran di negeri itu dapat dikurangkan sepanjang baki tahun ini.
--BERNAMA