PUTRAJAYA: Bantuan Kanak-kanak (BKK) berjumlah RM1,000 sebulan kepada sebuah keluarga disalurkan kepada enam anak warganegara Malaysia, bukannya kepada suami penerima yang berstatus warga asing.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai isu tular berhubung pemberian BKK kepada keluarga itu yang mencetuskan persoalan netizen mengenai kelayakan warga asing menerima bantuan kerajaan.
“Berdasarkan semakan yang dibuat, wanita yang terlibat warga tempatan dan kesemua enam anaknya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta warganegara Malaysia.
“Dalam kes ini, penerima manfaat BKK adalah anak-anak yang layak, bukannya suami kepada wanita itu yang merupakan bukan warganegara,” menurut kenyataan itu.
Menurut JKM, bantuan itu dipertimbangkan berdasarkan kelayakan kanak-kanak, keadaan sosioekonomi keluarga yang memenuhi syarat kelayakan termasuk pendapatan isi rumah di bawah paras ditetapkan serta keperluan untuk memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik anak terus terpelihara.
“JKM telah meluluskan BKK berjumlah RM1,000 sebulan bagi keseluruhan enam anak yang layak dan bukannya RM1,000 bagi setiap seorang anak atau kepada ibu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
BKK ialah bantuan yang disalurkan bagi memastikan kanak-kanak yang memerlukan dapat terus tinggal dengan keluarga atau penjaga dalam persekitaran yang selamat serta meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan (Bulanan) JKM, kadar BKK daripada RM200 sehingga maksimum RM1,000 sebulan berdasarkan bilangan dan umur anak yang layak serta tertakluk kepada syarat dan pertimbangan ditetapkan JKM.
JKM memaklumkan BKK diberikan berdasarkan syarat kelayakan yang telah ditetapkan termasuk status kewarganegaraan, umur, pendapatan isi rumah dan hasil siasatan kes oleh pegawai jabatan itu.
“Setiap permohonan bantuan dinilai secara telus dan profesional berdasarkan siasatan kes, dokumen sokongan, syarat kelayakan serta keadaan sosioekonomi semasa pemohon.
“Semua bantuan kebajikan yang disalurkan tertakluk kepada dasar, peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa serta tidak dipengaruhi oleh sentimen atau persepsi awam,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA