Skip to main content

Malaysia

Inflasi kesihatan Malaysia meningkat tiga peratus pada 2025

61662346581_TBICUHOSSGBULOHCOVID.jpg
DOSM berkata, peningkatan itu didorong oleh kenaikan kelas perbelanjaan insurans sebanyak sembilan peratus. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Inflasi kesihatan di negara ini meningkat tiga peratus pada 2025, berbanding 1.4 peratus pada tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan kos perkhidmatan kesihatan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan Laporan Awalan Indeks Harga Kesihatan (IHK) Malaysia 2025 yang diterbitkan hari ini, kategori perkhidmatan kesihatan mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 4.4 peratus berbanding 0.9 peratus pada 2024.

Beliau berkata peningkatan itu didorong oleh kenaikan kelas perbelanjaan insurans sebanyak sembilan peratus.

Inflasi ubat pula mencatatkan peningkatan 2.7 peratus berbanding 2.2 peratus pada 2024 manakala peralatan kesihatan meningkat 1.2 peratus berbanding 0.6 peratus tahun sebelumnya.

“Kategori ubat merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan kesihatan isi rumah di Malaysia dengan sumbangan 38.9 peratus daripada wajaran IHK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata pembangunan IHK Malaysia merangkumi gabungan komponen kesihatan daripada beberapa kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP), manakala inflasi kesihatan bagi negara lain merujuk kepada inflasi kumpulan Kesihatan yang diterbitkan daripada IHP.

Beliau berkata pada 2025, kadar inflasi kesihatan bagi negara terpilih selain Malaysia berada dalam julat negatif 0.8 peratus hingga 5.3 peratus.

“Vietnam mencatatkan kadar inflasi kesihatan lebih tinggi iaitu 5.3 peratus berbanding Malaysia pada kadar tiga peratus, manakala Thailand merekodkan inflasi terendah iaitu negatif 0.8 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata IHK merupakan sumber rujukan penting bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan kesihatan dalam konteks perbelanjaan isi rumah.

Statistik yang dihasilkan dapat membantu kerajaan, pemegang kepentingan dan masyarakat mengenal pasti trend perubahan kos kesihatan, seterusnya menyokong proses perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang lebih berkesan berkaitan inflasi kesihatan.

"IHK turut melengkapkan usaha kerajaan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian sektor kesihatan melalui penyediaan statistik yang lebih komprehensif dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement