Skip to main content

Dunia

12,000 dipindahkan ketika selatan Perancis berdepan kebakaran hutan

71719135831_tbwildfiresouthern.jpg
12,000 orang terpaksa dipindahkan akibat kebakaran yang merebak di komun Trevillach, sekali gus memaksa kira-kira 800 anggota bomba dikerahkan. - Gambar fail

ISTANBUL: Seramai 12,000 orang dipindahkan pada Selasa susulan kebakaran hutan di wilayah Pyrenees-Orientales, selatan Perancis, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar BFMTV.

Pihak berkuasa memberitahu BFMTV bahawa 12,000 orang terpaksa dipindahkan akibat kebakaran yang merebak di komun Trevillach, sekali gus memaksa kira-kira 800 anggota bomba dikerahkan.

Kebakaran hutan di Pyrenees-Orientales masih belum dapat dikawal, dengan kawasan seluas 4,900 hektar terbakar.

“Kami berharap dapat mengawal kebakaran itu secepat mungkin, tetapi saya tidak fikir ia dapat dilakukan hari ini memandangkan keadaan cuaca masih sama seperti semalam,” kata Ketua Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Pyrenees-Orientales, Kolonel Eric Belgioino.

Risiko kebakaran hutan dinyatakan sebagai “sangat tinggi” di tiga wilayah dan “tinggi” di 61 wilayah lain, manakala amaran gelombang haba jingga dikeluarkan di 61 wilayah pada Selasa ketika suhu diramal mencecah antara 35 darjah Celsius hingga 38 darjah Celsius.

Di barat daya Perancis, suhu maksimum dijangka mencecah sehingga 41 darjah Celsius.

Perkhidmatan cuaca kebangsaan Perancis berkata cuaca panas dijangka berterusan hingga akhir minggu ini.

“Hampir 14,500 hektar telah terbakar setakat musim ini, hampir tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu,” kata Perdana Menteri Sebastien Lecornu kepada Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement