PETALING JAYA: Free Malaysia Today (FMT) dan Keluar Sekejap (KS) memeterai memorandum kerjasama (MoC) bagi menggabungkan kekuatan pelaporan berita, analisis isu semasa serta capaian kandungan merentas platform dalam landskap media yang semakin mencabar.
Kerjasama itu turut menyaksikan pelancaran Future Speaks, program berjenama bersama pertama yang akan mengetengahkan tokoh baharu dalam bidang politik, perniagaan dan dasar awam.
Pengerusi Eksekutif FMT, Nelson Fernandez berkata kerjasama itu menyatukan dua organisasi media yang mempunyai kekuatan saling melengkapi.
“Keluar Sekejap telah menetapkan penanda aras bagi wawancara dan analisis serius di negara ini, manakala FMT ialah organisasi media lengkap dengan pelbagai segmen, capaian yang luas serta operasi berita yang kukuh.
“Bersama-sama, kami membentuk satu kuasa besar media bagi isu semasa, dasar dan perniagaan,” katanya.
Pengarah KS, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama itu berasaskan hasrat untuk menggabungkan kekuatan dua jenama media yang mencabar penguasaan media legasi dalam penyampaian berita dan ulasan.
“Kami menggerakkan pasukan masing-masing dan menghasilkan sesuatu yang baharu, yang memanfaatkan kekuatan KS serta FMT, dan saya percaya ia boleh berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar berkata, kedua-dua organisasi memberi tumpuan kepada dasar, politik, ekonomi serta hubungan antara perniagaan dan politik, namun mempunyai pendekatan tersendiri.
Menurutnya, KS mempunyai kekuatan dalam meneroka pemikiran tetamu menerusi wawancara mendalam, manakala FMT menumpukan pelaporan dan penerangan isu secara mudah difahami oleh khalayak.
“Gabungan kekuatan itu mewujudkan satu tawaran unik yang kami harap tiada tandingannya. Itulah pelan kami,” tambahnya.
Menerusi Future Speaks, FMT dan KS akan mengenal pasti tokoh baharu dalam bidang politik, perniagaan dan dasar awam untuk berkongsi idea, sebelum kandungan itu diperluas menerusi laporan serta susulan FMT.
Khairy berkata, program itu menyasarkan golongan muda yang mempunyai pandangan dan idea, namun berasa terasing daripada perbincangan politik serta isu semasa.
“Menerusi Future Speaks, kami mahu mengenal pasti individu muda yang boleh membawa perbualan itu kepada negara.
“Ramai daripada Generasi Z mempunyai pandangan serta idea yang kukuh, tetapi mungkin tidak berasa dekat dengan politik dan hal ehwal semasa kerana format sedia ada tidak sesuai dengan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah KS, Shahril Hamdan berkata, kerjasama itu mencabar tanggapan bahawa organisasi berita dan platform podcast perlu bersaing antara satu sama lain.
Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua pihak boleh memperkukuh hasil kandungan masing-masing menerusi peluasan capaian merentas platform.
Kerjasama itu hadir ketika industri media tempatan berdepan tekanan berterusan daripada penyusutan pasaran pengiklanan, persaingan platform digital global serta perubahan tabiat pengguna dalam mendapatkan berita.
Menurut laporan Kenanga Research yang dirujuk FMT, perbelanjaan pengiklanan keseluruhan susut kira-kira 22 peratus pada 2025, dengan sebahagian besar perbelanjaan pengiklanan digital mengalir kepada platform global seperti Meta, Google dan TikTok.
Azeem berkata, kerjasama itu merupakan tindak balas kepada perubahan besar yang sedang dilalui industri media.
“Industri ini sedang berubah dan menjadi semakin mencabar untuk media. Dalam cara tersendiri, kami berjaya menjadikannya berkesan.
“Apa yang cuba kami lakukan ialah menggabungkan perkara yang berkesan dan menyerlahkan kekuatan terbaik kedua-dua pihak untuk membina sesuatu yang berkekalan,” katanya.
Khairy turut memberi jaminan bahawa Keluar Sekejap akan kekal sebagai platform neutral walaupun beliau kembali aktif dalam politik menerusi UMNO.
Beliau berkata, Future Speaks mahu membuka ruang kepada suara daripada pelbagai parti dan latar belakang, dengan matlamat memastikan setiap pandangan dapat diwakili secara tidak berpihak.