Skip to main content

Malaysia

Penstrukturan semula KPF dijangka selesai selewat-lewatnya akhir tahun ini - TPM Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi, Hari Felda
Ahmad Zahid dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, di Maran pada Selasa. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Proses penstrukturan semula Koperasi Permodalan Felda (KPF) dijangka diselesaikan secara berperingkat bagi membolehkan bayaran penebusan syer anggota serta bayaran lain dapat dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pelan penstrukturan itu telah dikemukakan kepadanya dan dijangka dapat memulihkan kedudukan kewangan koperasi berkenaan.

"Pelan penstrukturan yang telah dikemukakan kepada saya sedang dilaksanakan, dan hasil penstrukturan ini akan digunakan untuk menjelaskan baki bayaran pengeluaran syer anggota selepas ianya dimuktamadkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Maran pada Selasa.

Beliau berkata KPF memerlukan kira-kira RM400 juta bagi membolehkan penebusan syer anggota yang ingin mengeluarkan pegangan mereka, selain sekitar RM100 juta lagi untuk memperkasakan aktiviti pelaburan dan perniagaan.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, usaha penstrukturan semula aset koperasi sedang dilaksanakan bagi membolehkan obligasi kewangan itu dipenuhi, sekali gus memulihkan prestasi KPF yang sebelum ini pernah menawarkan dividen yang tinggi kepada anggotanya.

Mengulas mengenai kedudukan Felda, Ahmad Zahid berkata cadangan untuk mengembalikan pengurusan ladang-ladang Felda yang sebelum ini diserahkan kepada FGV kini dalam rundingan dan diyakini mampu mempercepatkan pemulihan kewangan agensi itu.

Beliau berkata langkah tersebut berpotensi mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan yang terpaksa menanggung hutang Felda, kira-kira RM990 juta setahun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada penyelesaian isu tanah bagi generasi baharu Felda, termasuk usaha meminda undang-undang bagi membolehkan pembinaan lebih sebuah rumah di atas lot yang sama.

Katanya, Pahang dan Johor telah mengambil langkah awal dengan memberi kelulusan hak milik dan kebenaran pembinaan rumah bagi generasi kedua, selain penyambungan bekalan elektrik dan air yang sedang dipercepatkan.

Must Watch Video

Advertisement