MELAKA: Polis menahan tiga individu membabitkan dua warga Indonesia dan seorang warga China, yang disyaki terlibat dalam kegiatan seluk saku di kawasan pelancongan Jalan Hang Jebat (Jonker Walk) di sini, pada 4 Julai lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintenden Halim Abas berkata pasangan suami isteri warga Indonesia, masing-masing berusia 35 tahun, serta seorang lelaki warga China berusia 27 tahun ditahan kira-kira 3 petang hasil kerjasama orang awam dengan polis.
“Polis menerima satu laporan berhubung kejadian curi dompet membabitkan seorang pelancong lelaki warga China yang berlaku di Jalan Hang Jebat.
"Siasatan awal mendapati suspek wanita berperanan mengambil dompet mangsa, manakala suspek lelaki bertindak memerhati keadaan sebelum mereka melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Halim berkata hasil soal siasat juga mendapati kedua-dua suspek warga Indonesia itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes seluk saku di sekitar Melaka.
Hasil siasatan awal turut mendapati lelaki warga China yang tiba di negeri ini pada Jumaat lepas tidak terlibat dalam kegiatan seluk saku berkenaan, namun ditahan selepas bertindak melarikan diri bersama pasangan warga Indonesia berkenaan ketika pemeriksaan polis dijalankan.
"Polis turut merampas dua beg galas, dua dompet, lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua payung, pelbagai pakaian dan kasut serta wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Indonesia bagi membantu siasatan.
"Kesemua suspek direman hingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata polis juga merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan itu.
Dalam perkembangan lain, Halim berkata polis sedang mengesan seorang lelaki, Azharuddin Ahmad berumur pertengahan 50-an yang beralamat terakhir di Kandang di sini, bagi melengkapkan proses pertuduhan di mahkamah berkaitan kes yang direkodkan di Tiang Dua dan Batu Berendam.
Beliau berkata individu itu gagal dikesan walaupun beberapa usaha menghubunginya telah dilakukan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Nuril Anwaar Abdul Halim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA