MUAR: Calon Pakatan Harapan (PH), Md Ysahrudin Kusni melihat persaingan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sebagai pertandingan sihat, malah menganggap sebahagian pencabarnya sebagai rakan yang sudah lama dikenali.
Beliau berkata, setiap calon yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing dan pengundi akan membuat penilaian berdasarkan kemampuan calon menampilkan diri sebagai wakil rakyat terbaik untuk kawasan itu.
"Kita lihat semua calon ada kelebihan masing-masing. Cuma siapa yang dapat tunjukkan diri lebih baik kepada rakyat dan meyakinkan pengundi, itu yang akan diberi mandat.
"Kempen yang dijalankan setakat ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pengundi Cina dan Melayu.
"Kita mahu jadi pemimpin kepada semua kaum, bukan pemimpin kepada satu kaum sahaja. Sebab itu saya pergi ke kawasan Melayu, Cina dan India untuk santuni mereka sebaik mungkin," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut yakin rekod perkhidmatannya ketika menjadi wakil rakyat Bukit Naning pada 2018 masih diingati penduduk setempat dan menjadi antara faktor yang membantu kempen beliau kali ini.
"Saya pernah menjadi ADUN kawasan pada 2018 dan masyarakat masih mengenali saya. Kita ada rekod perkhidmatan yang baik. Antara yang berjaya direalisasikan ialah projek tangki air yang sudah lebih 30 tahun dimohon oleh penduduk, tetapi tidak berjaya dilaksanakan sebelum itu.
"Apabila saya menjadi wakil rakyat, kita berjaya merealisasikan harapan rakyat. Saya percaya perkara-perkara seperti ini masih diingati masyarakat," ujarnya lagi.
Mengulas mengenai kemungkinan berlakunya perpecahan undi, Md Ysahrudin berkata, situasi itu sentiasa menjadi kebimbangan setiap parti yang bertanding, namun sukar untuk meramalkan sejauh mana kesannya kepada keputusan pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau mengakui lebih berhati-hati terhadap calon Bebas yang dikenali sebagai "Gajah" kerana calon itu mempunyai rekod sokongan tersendiri dalam pilihan raya sebelum ini.
Namun, beliau mendakwa, sokongan yang diterimanya daripada masyarakat Melayu dan bukan Melayu memberi keyakinan kepada PH untuk terus memperkukuhkan kempen menjelang hari pengundian.
Md Ysahrudin bukan muka baharu di Bukit Naning. Beliau pernah memenangi kerusi DUN Bukit Naning pada PRU14 tahun 2018 selepas menewaskan calon BN dengan majoriti 1,552 undi.
Namun pada PRN Johor 2022, beliau tewas kepada calon BN, Mohd Fuad Tukirin dalam pertandingan lima penjuru.