KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), disokong prestasi sektor luaran yang berdaya tahan, permintaan domestik yang sederhana dan risiko inflasi boleh diurus, kata ahli ekonomi.
MPC dijadualkan mengumumkan keputusan dasar monetari terkini pada Khamis.
Daya Tahan Luaran Sokong Status Quo
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar dasar semasa masih wajar susulan pelonggaran awal pada tahun lepas bagi mengurangkan kesan kejutan luaran.
“Sektor luaran Malaysia yang amat pelbagai benar-benar menyumbang kepada daya tahan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata eksport berkembang pada kadar yang kukuh 45.3 peratus tahun ke tahun pada Mei 2026, disokong oleh pertumbuhan 70.5 peratus dalam sektor elektrik dan elektronik, manakala eksport gas asli cecair melonjak 111 peratus.
Eksport perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi yang lebih tinggi juga telah meningkatkan lebihan akaun perkhidmatan, menyumbang kepada lebihan akaun semasa, yang meningkat kepada 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku pertama 2026, katanya.
Mohd Afzanizam berkata bagaimanapun, penggunaan swasta meningkat sebanyak 4.7 peratus pada suku pertama 2026 dan berada di bawah pertumbuhan purata terdahulu sebanyak 6.0 peratus manakala kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 3.0 peratus pada April daripada 2.9 peratus sebelumnya.
“Langkah mengekalkan OPR yang stabil adalah keutamaan strategik untuk membolehkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang baik pada separuh kedua 2026,” katanya.
Justifikasi Terhad bagi Kenaikan Kadar
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pada masa ini tiada keperluan mendesak untuk BNM melaraskan dasar monetari melainkan kalangan bank pusat utama, termasuk Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Bank of Japan, European Central Bank atau People's Bank of China membuat perubahan kadar faedah kumulatif melebihi 0.5 peratus.
Beliau berkata ambang untuk kenaikan OPR kekal tinggi kerana harga tenaga yang lebih tinggi berpunca daripada ketegangan geopolitik mungkin mengakibatkan inflasi yang didorong oleh penawaran dan bukannya inflasi yang didorong oleh permintaan.
“BNM dijangka lebih cenderung untuk meneliti kejutan harga tenaga yang sementara di samping menilai kesannya terhadap inflasi asas dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata OPR berkemungkinan kekal pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini.
Sekiranya BNM dan Fed masing-masing mengekalkan kadar dasarnya, prestasi ringgit sebahagian besarnya bergantung kepada perbezaan kadar faedah dan momentum perdagangan Malaysia, yang akan kekal bersifat menyokong pada separuh kedua 2026.
Kemungkinan Kenaikan Kadar Jika Pertumbuhan Mengatasi Jangkaan
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata walaupun unjuran asasnya juga adalah OPR tidak berubah sepanjang 2026 namun pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh mendorong BNM menaikkan kadar penanda aras itu sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada mesyuarat MPC September atau November.
Beliau berkata langkah sedemikian mungkin didorong oleh kegiatan ekonomi yang lebih kukuh berbanding jangkaan atau harga minyak yang berterusan lebih tinggi yang menyebabkan inflasi.
“Kami masih percaya MPC akan mengekalkan kadar dasar semasa untuk sepanjang 2026. Jika MPC menaikkan kadar tersebut menjelang akhir tahun, itu mungkin didorong oleh (prestasi) ekonomi yang jauh lebih kukuh mengatasi jangkaan kebanyakan penganalisis pada masa ini.
“Selain pertumbuhan ekonomi yang kukuh, faktor tunggal terbesar yang mungkin menyebabkan BNM menaikkan kadar tersebut pada akhir 2026 adalah harga minyak kerana mempunyai kesan yang besar terhadap inflasi,” katanya.
Beliau berkata konflik di Teluk telah mendorong kenaikan harga tenaga, yang seterusnya membawa kepada inflasi.
“Inflasi keseluruhan mencecah 2.0 peratus pada Mei, yang tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun namun, jika keamanan di Teluk kekal dapat dicapai justeru inflasi boleh mereda.
“Ini akan membuka ruang untuk usaha memulihkan kuota bahan api bersubsidi, diesel yang lebih murah untuk perniagaan dan petani, dan kos penghantaran yang lebih rendah untuk barangan eksport dan import Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA