KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada di Parlimen pada pagi Selasa.
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden itu berlaku ketika beliau hadir bagi mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) serta dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.
Menurut kenyataan itu, Ahmad Amzad mengalami gejala pening dan hampir pitam sebelum segera dibawa ke Klinik Parlimen untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan awal.
"Hasil pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pegawai perubatan di Klinik Parlimen, beliau kemudiannya telah dirujuk ke IJN untuk pemeriksaan lanjut.
"Beliau dibawa ke IJN dengan menaiki ambulans dan kini telah dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan serta rawatan lanjut oleh pihak IJN," kata kenyataan itu pada Selasa.
Jelas kenyataan itu lagi, beberapa urusan rasmi, pertemuan dan program yang telah dijadualkan melibatkan Ahmad Amzad pada minggu ini terpaksa ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
"Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan amat menghargai kefahaman semua pihak.
"Kami juga memohon doa daripada semua agar YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim diberikan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan rawatan serta dikurniakan kesihatan yang baik.
"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," kata kenyataan tersebut. - Sinar Harian