DAMSYIK: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dilapor berada dalam keadaan selamat selepas dua letupan menggegarkan pusat bandar Damsyik pada Selasa ketika beliau mengadakan lawatan rasmi ke Syria.
Istana Élysée dalam satu kenyataan mengesahkan Macron tidak terjejas oleh insiden berkenaan dan program lawatan beliau akan diteruskan seperti dirancang.
Ketika kejadian, Macron berada di Istana Presiden bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa, lapor BBC.
Menurut sumber keselamatan Syria, dua bahan letupan meletup berhampiran Hotel Four Seasons yang dilaporkan menjadi lokasi penginapan delegasi Perancis.
Satu daripadanya diletakkan di dalam tong sampah manakala satu lagi pada sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan berkenaan.
Letupan itu menyebabkan kepulan asap tebal dan kebakaran kecil di lokasi kejadian sebelum pasukan keselamatan memperketat kawalan di kawasan sekitar.
Media kerajaan Syria melaporkan sekurang-kurangnya empat individu cedera, termasuk beberapa anggota polis, manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Pihak berkuasa turut menutup beberapa laluan utama dan melancarkan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Kehadiran Macron ke Syria menjadikannya antara pemimpin utama Barat yang pertama melawat negara itu sejak kejatuhan Bashar al-Assad dan pemerintahan baharu di bawah Ahmad al-Sharaa.
Selepas lawatan tersebut, beliau dijadualkan berlepas ke Ankara, Turkiye, bagi menghadiri sidang kemuncak NATO.