KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mendedahkan siasatan mendapati tuas keselamatan bom tangan dipercayai terlepas sebelum balingan disempurnakan dalam insiden letupan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dapatan itu dibuat berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis kesan kecederaan yang dialami mangsa.
Beliau berkata corak kecederaan yang dialami kedua-dua anggota berkenaan selaras dengan dapatan bahawa grenad telah mula berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas anggota terbabit.
"Semua proses diselesaikan, laporan lengkap telah dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan. Proses latihan membaling grenad dilaksanakan secara berperingkat mengikut arahan pengasuh.
"Sepanjang proses tersebut, pembaling hendaklah memastikan grenad sentiasa digenggam dengan kemas, khususnya pada tuas keselamatan, sehingga grenad dibaling ke arah sasaran.
"Grenad tersebut mempunyai beberapa lapisan keselamatan, iaitu klip keselamatan, pin keselamatan dan tuas keselamatan. Grenad mula bekerja apabila tuas keselamatan dilepaskan daripada badan grenad dan akan meletup dalam tempoh kira-kira lima saat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, dalam insiden pada 16 Jun lalu, pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, badan dan anggota sebelah kiri.
Bagaimanapun, ujarnya ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan tidak dapat dipastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas.
Menurut Mohamed Khaled, Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menubuhkan Lembaga Siasatan pada 17 Jun 2026, sehari selepas kejadian, bagi meneliti semua aspek teknikal, pematuhan prosedur serta keterangan saksi.
Tambah beliau, hasil siasatan itu kemudiannya melalui semakan di beberapa peringkat pemerintahan Tentera Darat sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan.
"Dalam proses tersebut, keterangan telah diperoleh daripada saksi berkaitan bagi mengukuhkan dapatan siasatan," ujarnya lagi.
Susulan dapatan siasatan itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan dan ATM akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu daripada berulang.
Tegas beliau, keselamatan setiap anggota sentiasa menjadi keutamaan, dan tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan serta keselamatan yang tertinggi.
Dalam kejadian tersebut, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah akibat letupan grenad sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.