Skip to main content

Malaysia

'Guide' rumah hantu dipenjara tiga tahun lakukan amang seksual terhadap pelanggan

51733742339_TBGAVEL.jpg
Seorang 'guide' rumah hantu di sebuah taman tema dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelanggannya yang merupakan remaja perempuan, Februari lepas.

KUALA LUMPUR: Seorang 'guide' rumah hantu di sebuah taman tema dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelanggannya yang merupakan remaja perempuan, Februari lepas.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Bangladesh Md Israful Alam, 30,  dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Feb lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling dalam tempoh pemenjaraan.

Md Israful didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berumur 13 tahun di rumah hantu taman tema di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, pada 12.30 tengah hari, 7 Feb lepas, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memberitahu ibunya bahawa tertuduh melakukan perbuatan tersebut ketika remaja itu berjalan dalam keadaan beratur di dalam rumah hantu pada 7 Feb lepas dan mangsa berasa terkejut dengan perbuatan tertuduh.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari sama (7 Feb) dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan berkenaan ketika berada di belakang mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, bersifat pencegahan serta memberi mesej jelas bahawa sebarang kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan serta demi kepentingan awam dan perlindungan golongan kanak-kanak.

"Akibat perbuatan tertuduh, mangsa mengalami trauma berpanjangan dan masih terkesan dengan kejadian tersebut. Mangsa juga kini berasa takut dan trauma terhadap individu warga asing.

"Mangsa seorang yang ceria dan sering melakukan aktiviti riadah luar bersama keluarga, namun akibat perbuatan tertuduh di rumah hantu yakni tempat riadah, mangsa menjadi takut ingin keluar lagi dan trauma untuk beriadah seperti dahulu," katanya.

Peguam Kelvin Sidhu mewakili Md Israful memohon hukuman ringan kerana anak guamnya menanggung isteri dan anak berumur tujuh tahun selain mahkamah perlu mengambil kira pengakuan di peringkat awal  sebagai faktor pengurangan hukuman.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement