Skip to main content

Malaysia

Fadhlina hasrat terbit lebih banyak buku kanak-kanak, pupuk budaya membaca

KUALA LUMPUR, 30 Mei -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada program Wawancara Bersama Menteri Pendidikan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadhlina berkata beliau berhasrat untuk memastikan setiap penyertaannya di PBAKL pada masa akan datang disertai dengan penerbitan buku khusus untuk golongan kanak-kanak. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasakan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak menerusi penerbitan buku baharu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Menerusi hantaran Facebook, Fadhlina berkata beliau berhasrat untuk memastikan setiap penyertaannya di PBAKL pada masa akan datang disertai dengan penerbitan buku khusus untuk golongan kanak-kanak.

Beliau berkata buku terbaharu yang diterbitkan tahun ini hasil kerjasama dengan penulis dan ilustrator Emilia Yusof, antaranya bertajuk Harimau Berani Bicara, Penyu Yang Hebat, Kongsi Dengan Kawan, Orang Utan dan Warna, Mana Gajah? dan Peluang Kedua.

“Alhamdulillah, kali ini bergandingan dengan Emilia Yusof, kami ada buku baharu untuk dikongsikan. Asalnya, saya yang cerewet memilih buku kanak-kanak. Maka, kami fikir bagaimana jika kita sendiri yang mengeluarkannya?

“Kolaborasi pasukan saya dan pasukan Emilia menjadikan buku ini sangat istimewa. Kami berdua sangat percaya bahawa segmen kanak-kanak sangat penting dalam memupuk budaya membaca,” katanya.

Fadhlina berkata buku kanak-kanak bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya menjadi cerminan penting bangsa yang kaya dengan nilai, kasih sayang dan empati.

“Pada saat kita berhadapan dengan kebanjiran idola tetapi kemarau teladan, pastinya suri teladan daripada kisah kanak-kanak sangat signifikan untuk dimartabatkan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengajak pengunjung PBAKL 2026 untuk singgah dan mendapatkan buku berkenaan di reruai No 818 serta mendaftar sebagai komuniti Kelab Perempuan Membaca.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement