Skip to main content

Malaysia

DUN Sabah lulus RUU naik gaji pemimpin pembangunan masyarakat kepada RM2,000

41718356047_DUNSabah.jpg
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemimpin-Pemimpin Pembangunan Masyarakat (Pindaan) 2026, antara lain menaikkan kadar gaji pokok pemimpin itu daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemimpin-Pemimpin Pembangunan Masyarakat (Pindaan) 2026, antara lain menaikkan kadar gaji pokok pemimpin itu daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata penyelarasan itu munasabah dan tepat pada masanya memandangkan kadar asal yang termaktub dalam enakmen itu tidak pernah disemak sejak 45 tahun lepas.

Beliau berkata dalam tempoh itu, tanggungjawab Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dilihat semakin meluas dan kritikal sebagai nadi utama sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.

“Kerajaan negeri memerlukan peranan PPM untuk memastikan dasar dan program kerajaan sampai kepada seluruh rakyat Sabah secara adil, termasuk di kawasan-kawasan yang diwakili Ahli Yang Berhormat di pihak pembangkang,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

RUU bagi meminda Enakmen Pemimpin-Pemimpin Kemajuan Rakyat 1981 itu diluluskan dengan suara terbanyak di hadapan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya setelah dibahaskan enam Ahli DUN.

Mengenai pelaksanaannya, Ceasar Mandela yang membentangkan RUU itu berkata pindaan berkenaan dijangka mula berkuat kuasa selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan dan penyelarasan gaji baharu itu akan dilaksanakan sejurus selepas penguatkuasaannya.

Beliau ketika mengulas mengenai cadangan beberapa Ahli DUN dalam perbahasan itu agar kerajaan turut mengkaji semula elaun-elaun tambahan seperti elaun elektrik dan perjalanan berkata penyelarasan hari ini bukanlah titik akhir.

“Sebarang pertimbangan berhubung penambahan manfaat pada masa hadapan akan diteliti secara bertanggungjawab berasaskan kemampuan fiskal dan kedudukan kewangan kerajaan negeri berserta keperluan semasa,” katanya.

Sementara itu, persidangan itu turut meluluskan RUU Haiwan (Pindaan) 2026 di hadapan Kadzim selepas dibahaskan enam Ahli DUN, yang terdahulu dibentangkan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar.

Pindaan kepada Enakmen Haiwan 2015 itu antara lain memperjelas peruntukan pelesenan ladang ternakan dan rumah sembelih agar pelaksanaannya lebih teratur serta berkesan, selain mewajibkan pemilikan lesen untuk pengendalian mana-mana ladang ternakan dan rumah sembelih di negeri itu.

“Secara keseluruhannya, langkah ini penting untuk memastikan enakmen ini kekal relevan sebagai kerangka perundangan yang jelas dan selaras dengan keperluan semasa industri. Penguatkuasaan pindaan ini memperkukuh aspek kawal selia aktiviti penternakan,” kata Jamawi ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Kadzim kemudian menangguhkan persidangan ke suatu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement