Skip to main content

Malaysia

JPA perkukuh usaha santuni pesara kerajaan, hargai jasa mereka - KPPA

SEREMBAN, 23 Julai -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika sesi dialog aspirasi perkhidmatan awam MADANI Negeri Sembilan Siri 2 2026 di Wisma Negeri hari ini._BERNAMA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan pesara kerana golongan itu telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memperkukuh usaha menyantuni pesara kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka, termasuk melalui Program Santuni Pesara serta bantuan kepada mereka yang berdepan masalah kesihatan dan kebajikan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan pesara kerana golongan itu telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Menjadi kebiasaan kepada saya setiap kali ada program di luar, saya akan mengambil kesempatan untuk menziarahi pesara kita yang sememangnya telah menabur jasa dan bakti kepada negara. Kami mengadakan program seumpama ini banyak kali dan ia antara yang menjadi keutamaan.

“Bagi kerajaan, pesara adalah mereka yang memberikan perkhidmatan terbaik ketika dalam perkhidmatan. Jasa dan pengorbanan mereka selama ini tidak akan dilupakan setiap kali kerajaan membuat semakan gaji penjawat awam, pencen pesara juga akan diselaraskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi pesara kerajaan tertua di Negeri Sembilan Ong Siew Choon, 102, yang juga bekas pekerja rendah awam di kediamannya di sini hari ini. Ong kini menetap bersama anak perempuannya Yeoh Kim Yeok, 75, yang juga pesara guru.

Wan Ahmad Dahlan berkata setakat tahun ini, JPA telah menziarahi lebih 125 pesara yang berdepan pelbagai isu kesihatan menerusi kerjasama dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, pesara yang memerlukan bantuan seperti katil pesakit, kerusi roda dan sumbangan kewangan akan dibantu bagi meringankan beban mereka.

“Bantuan itu mungkin tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan mereka, namun sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit beban pesara yang banyak berjasa ketika berkhidmat dahulu,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata JPA mempunyai pangkalan data lengkap pesara kerajaan termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik, sekali gus memudahkan usaha menyalurkan bantuan mengikut keperluan.

Beliau berkata cabaran utama ketika ini ialah mencari ruang dan masa untuk turun padang bertemu pesara justeru, setiap pegawai JPA digalakkan mengambil kesempatan menziarahi mereka apabila menjalankan tugas di lapangan.

“Insya-Allah saya mahu jadikan ini sebagai satu budaya di JPA, iaitu setiap kali berada di lapangan kita menyantuni pesara-pesara kita, bertanya khabar dan membantu apa yang diperlukan, terutama berkaitan isu kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Yeoh melahirkan penghargaan atas kunjungan JPA dan menyifatkannya sebagai tanda kerajaan tidak melupakan jasa pesara walaupun telah lama meninggalkan perkhidmatan dengan segala perhatian yang diberikan memberi makna besar kepada golongan pesara.

“Saya benar-benar terkejut apabila melihat begitu ramai yang datang. Saya amat bersyukur kerana JPA masih mengingati jasa pesara walaupun kami telah lama bersara. Ketika masih berkhidmat, kita dihargai dan selepas bersara pun JPA masih mengingati kami. Itu sangat bermakna,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Wan Ahmad Dahlan menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas, termasuk lampin pakai buang dan bakul makanan kepada Ong yang mengalami masalah jantung serta pendengaran akibat faktor usia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement